Ibu sedih lihat dua beradik rentung berpelukan
Muhammad Zafran Muhammad Fikri, 3, dan Nurul Hawa Zafira Muhammad Fikri, 2, dikebumikan dalam satu liang lahad pada jam 5.30 petang tadi.
Terdahulu jenazah dua kanak-kanak itu tiba dengan dibawa van ke tanah perkuburan selepas selesai proses bedah siasat di Hospital Sultanah Aminah, di sini.
Dianggarkan lebih 50 orang termasuk ahli keluarga dan kenalan hadir memberikan penghormatan terakhir dalam suasana hiba.
Ibu mangsa Nurul Ain Najihah Zulkifli, 27, ketika ditemui berkata, dia hanya mampu meredai pemergian cahaya matanya itu.
"Saya tidak risau apa-apa sebab anak saya sudah jadi anak-anak syurga.
"Cuma rasa sedih sebab saya lihat Zafran (di lokasi kejadian) peluk adik dia..saya orang pertama yang masuk ke rumah selepas kebakaran dipadamkan,” katanya ketika ditemui di tanah perkuburan itu, di sini pada Ahad.
Semalam, dua beradik itu ditemukan rentung dalam bilik tidur dalam kejadian yang berlaku pada jam 1.40 tengah hari. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!