Rugi jika Khairy tak bertanding PRU15: Reezal Merican

Reezal Merican dan Khairy Jamaluddin
Reezal Merican dan Khairy Jamaluddin
A
A
A

SHAH ALAM – Kenyataan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang membayangkan senario terburuk tidak bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilihat sebagai satu kerugian.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ini kerana Khairy dilihat sebagai personaliti yang boleh memberi keseimbangan untuk menarik pengundi khususnya kumpulan belia 18 tahun dan pengundi kali pertama.

“Perubahan demografi pengundi pasca Undi 18 ini juga dilihat cukup dinamik dan Khairy mempunyai aura tersendiri yang boleh mengekalkan momentum kemenangan buat UMNO dan BN.

“Seperti manusia lain juga, Khairy tidak sempurna tetapi saya yakin keupayaan dan kebolehannya sebagai seorang pemimpin akan terus menjadi aset politik cukup penting untuk kemenangan parti dalam PRU15 akan datang ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Ahad.

Khairy sebelum ini dilapor mengesahkan tidak akan mempertahankan kerusi Parlimen Rembau pada PRU15.

Menurutnya, ia berikutan beliau telah diminta untuk memberikan laluan kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang berhasrat untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Kata Menteri Kesihatan itu, beliau tidak mempunyai persediaan atau idea untuk mencuba nasib di mana-mana kawasan Parlimen lain setakat ini dan turut membayangkan mengenai senario terburuk bahawa tidak bertanding pada PRU15.

Reezal Merican turut berpandangan Khairy mempunyai kebolehan tersendiri untuk menyampai dan melunaskan tanggungjawab yang diberikan padanya dengan baik.

Artikel Berkaitan:

“Ya, adakala beliau agak lantang memberikan sudut pandang atau perspektif yang agak berbeza. Namun, ia tidak bermakna pandangan beliau betul semuanya atau salah semuanya,” katanya.

Ujar Reezal Merican, pihaknya turut melihat bagaimana Khairy sebagai seorang rakan menteri yang sering memberi hujah-hujah bernas dalam mesyuarat kabinet.

“Kepimpinannya juga diiktiraf di peringkat antarabangsa hingga membolehkan beliau dipilih sebagai Naib Presiden Perhimpunan Kesihatan Sedunia (WHA) ke-75 pada Mei 2022 lalu,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!