Deretan lima kedai musnah dalam kebakaran
KUALA SELANGOR - Lima deretan kedai dua tingkat musnah dalam kebakaran di Jalan Sultan Ibrahim, Bandar Melawati di sini pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, bomba menerima maklumat kejadian itu pada jam 5.20 pagi.
Menurut beliau, seramai 32 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Selangor, Tanjong Karang, Bestari Kaya, Sekinchan dan Sungai Besar dikejarkan ke tempat kejadian.
"Kebakaran membabitkan sebuah kedai jahitan pakaian, tokong persendirian, rumah burung layang-layang dan masing-masing dua premis kosong berkeluasan 18X60 kaki persegi terbakar 70 peratus," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Norazam berkata, siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berpunca dari kedai jahit pakaian yang kemudiannya merebak ke premis lain.
Ujar beliau, operasi pemadaman sehingga kini masih dijalankan dan kebakaran tidak membabitkan mangsa.
Jelas Norazam, semasa kejadian, semua pemilik kedai tiada di lokasi kerana masing-masing berada di rumah.
"Punca sebenar kebakaran dan jumlah sebenar kerugian masih dalam siasatan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!