Bantuan RISDA ubah nasib pekebun kecil

A
A
A

Usahawan pakaian dan aksesori bayi, Khairunnisa menunjukkan pakaian tradisional bayi dihasilkan Nazkids.
Usahawan pakaian dan aksesori bayi, Khairunnisa menunjukkan pakaian tradisional bayi dihasilkan Nazkids.



ALOR SETAR – Nasib pekebun kecil khususnya dari luar bandar berubah melalui bantuan keusahawanan yang disalurkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

Bermula daripada kosong, RISDA membantu usahawan dengan memberi bimbingan mengembangkan perniagaan masing-masing hingga ada yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa.

Menurut usahawan pakaian dan aksesori bayi, Khairunnisa Ahmad Zamri, 36, pada peringkat awal perniagaan, dia hanya mampu menghasilkan pakaian bayi secara kecil-kecilan disebabkan kekurangan mesin.

Bagaimanapun, usahawan dari Bandar Darulaman Jitra ini mendedahkan, semuanya berubah apabila dia menerima bantuan mesin daripada RISDA.

“Bermula 2016, saya mengeluarkan pakaian tradisional seperti baju Melayu, sampin songket, set tanjak songket untuk bayi baru lahir hingga berusia dua tahun.

“Lama-kelamaan saya turut menghasilkan kemeja bayi namun berdepan kesukaran apabila terpaksa menempah daripada orang lain untuk membuat lubang butang baju,” katanya.

Khairunnisa antara usahawan bimbingan RISDA yang ditemui Sinar Harian pada Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di pekarangan Stadium Darul Aman di sini, pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

“Sebagai anak pekebun kecil, saya mencuba nasib memohon bantuan RISDA. Alhamdulillah, saya menerima bantuan mesin jahit lubang butang dan dapat menghasilkan sendiri kemeja bayi di bawah jenama Nazkids,” jelasnya.

Ujarnya, pendapatan Nazkids menunjukkan peningkatan ketara semenjak menerima bantuan dan bimbingan daripada RISDA. Keuntungan Nazkids kini mencecah RM250,000 setahun berbanding RM120,000 sebelum ini.

“Kami menerima tempahan dari luar negara seperti Brunei dan Singapura, selain pasaran tempatan untuk mendapatkan pakaian tradisional bayi yang dijual pada harga serendah RM75,” tambahnya.

Kini, Nazkids mengeluarkan lanyard songket dan batik, serta pelitup muka songket yang turut mendapat permintaan.

Naik taraf hidup

Suzita bersama tudung kanak-kanak yang dihasilkannya.
Suzita bersama tudung kanak-kanak yang dihasilkannya.



Sementara itu, Suzita Hamid, 40, pemilik syarikat Zieta Anggun Enterprise di Kuala Muda, pula menghasilkan tudung kanak-kanak.

Perniagaan yang diusahakannya mendapat perhatian RISDA yang memberi bantuan sebanyak dua kali iaitu pada 2018 dan 2020.

“Pada mulanya, saya menerima bantuan mesin sebelum menerima bantuan berbentuk pembungkusan untuk tudung kanak-kanak atas jenama Aura Zulfa ini.

“Dalam tempoh empat tahun ini, sememangnya produktiviti meningkat daripada 1,000 helai tudung kepada 3,000 helai dalam satu-satu masa. Perniagaan diusahakan di Taman Ria Jaya, Sungai Petani ini makin berkembang dengan pelbagai bentuk bantuan RISDA,” jelasnya.

Suhada menghasilkan aneka baulu dengan bantuan RISDA.
Suhada menghasilkan aneka baulu dengan bantuan RISDA.

Suhada Abdul Raof, 42, pula menyifatkan bantuan RISDA mengubah kehidupan dan meningkatkan taraf hidupnya.

Dia yang mengusahakan kuih tradisional iaitu baulu di Padang Terap, pada awalnya menghasilkan sekitar 200 biji sahaja sehari di rumah.

“Kini, dengan bantuan RISDA kami mampu menghasilkan sehingga 2,000 baulu sehari di kedai yang disewa dengan Majlis Daerah Padang Terap. Saya berhasrat untuk memperluaskan lagi perniagaan ini,” katanya.

Dia menerima bantuan peralatan seperti ketuhar dan mesin adunan tepung yang membantu memudahkan pembuatan baulu pelbagai perisa dan saiz.

Menurutnya, sehingga kini lima jenis baulu dihasilkan iaitu pandan beras, coklat dan bluberri yang dijual serendah RM4 hingga RM15.

Baulu dihasilkan atas jenama Suhaakri itu makin dikenali ramai dan turut menerima tempahan untuk majlis-majlis tertentu.

Mashitah menunjukkan keropok lekor berjenama Azibella yang dikeluarkan syarikatnya.
Mashitah menunjukkan keropok lekor berjenama Azibella yang dikeluarkan syarikatnya.

Pandangan sama turut disuarakan Mashitah Abdul Manas, 47, bahawa RISDA sememangnya memainkan peranan penting dalam membantu usahawan sepertinya.

Kata Mashitah, dia memberi tumpuan untuk penghasilan keropok lekor atas jenama Azibella sejak empat tahun lalu.

“Sebelum ini, saya hasilkan keropok lekor pada waktu tertentu sahaja, namun kini mula menghasilkan sepenuh masa dengan bantuan RISDA.

“Saya menerima bantuan peti sejuk beku, mesin adunan, mesin memproses ikan dan pelekat jenama. RISDA banyak membantu dan memudahkan urusan saya,” ujarnya.

Jika sebelum ini syarikat hanya menyediakan lima kilogram keropok lekor, kini dia mampu menghasilkan kira-kira 60 kilogram sehari.

Anita bersama popiah simpul kasih dihasilkannya di Kampung Tanah Rang di Tunjang, Jitra.
Anita bersama popiah simpul kasih dihasilkannya di Kampung Tanah Rang di Tunjang, Jitra.

Bagi Anita Noh pula, dia akui terharu atas kesungguhan RISDA membantu dan membimbingnya untuk menghasilkan pelbagai jenis kuih tradisional.

Wanita berusia 48 tahun ini telah menghasilkan pelbagai kuih tradisional secara kecil-kecilan selama 22 tahun di Kampung Tanah Rang, mukim Jeram, Tunjang di Jitra.

“Saya menerima bantuan RISDA beberapa kali hingga kini dianggarkan telah mencecah RM25,000 melalui bantuan peralatan dan sebagainya.

“Pada mulanya, saya terima bantuan mesin berharga kira-kira RM10,000, diikuti bantuan pembungkusan kuih tradisional iaitu popia simpul kasih (RM5,000) dan terbaru bantuan mesin sebanyak RM10,000,” jelasnya.

Dia kini mampu menghasilkan sehingga satu tan kuih tradisional berbanding hanya 300 kg sebelum menerima bantuan RISDA.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!