Kes Najib: UMNO perlu segera 'move on'
PASIR GUDANG - UMNO tidak perlu lagi terbelenggu dengan kes mahkamah Datuk Seri Najib Tun Razak dan perlu segera bergerak ke hadapan.
Exco Pemuda UMNO Pusat, Noor Azleen Ambros berkata, langkah tersebut perlu dilakukan untuk memastikan kemenangan parti terutama pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurutnya, sejarah panjang UMNO telah membuktikan bahawa parti itu dan segala isi pejuangannya tidak sesekali terbelenggu dengan mana-mana individu.
"Sejauh mana pun hebatnya karisma dan pengaruh individu dalam UMNO, bakti dan jasa yang ditabur hanya telah dimungkinkan kerana dokongan UMNO kepada mereka.
"Rentetan daripada apa yang berlaku ke atas Datuk Seri Najib, UMNO perlu segera ‘move on’ dan mara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, situasi kini menjadikan UMNO tidak punya banyak pilihan dan sangat terhad.
Menurutnya, segala tumpuan dan fokus tidak lain selain untuk menang mutlak dalam PRU-15.
"Segera ‘move on’ adalah antara pilihan terhad yang ada agar UMNO tidak terbelenggu dengan ‘the actual big picture’ yang perlu diberikan fokus dan tumpuan.
"Tatkala Datuk Seri Najib telah buktikan bahawa parti tidak pernah sesekali dijadikan alat atau perisai untuk beliau berlindung, apatah lagi membela diri. UMNO pula telah buktikan bahawa parti tidak juga sesekali kompromi soal nilai dan integriti, katanya.
Katanya, UMNO berhak untuk bersedih sebagai menzahirkan rasa simpati atas apa yang berlaku terhadap bekas Perdana Menteri itu.
Justeru, beliau mahu semua pihak terus berdoa agar keluarga Najib diberi segala kekuatan dan ketabahan untuk berdepan dengan segala dugaan atas ketentuan ke atas beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!