Muhammad Fauzi penerima anugerah atlet muda terbaik SAM

No Image Caption
A
A
A

ATLET pelayaran negara, Muhammad Fauzi Kaman Shah dinobat sebagai penerima Anugerah Atlet Muda Terbaik oleh Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) bersempena Anugerah SAM-100PLUS 2018.

Naib Presiden SAM, Izahar Atan berkata pengiktirafan diberikan itu berdasarkan aksi konsisten dalam setiap pertandingan disertai atlet pelayaran berusia 16 tahun tersebut sepanjang tahun lepas.

“Prestasi ditunjukkan ketika beraksi pada Sukan Asia 2018 menjadi faktor utama kepada pemilihannya untuk menerima anugerah ini.

“Kami di SAM berharap kecemerlangan ditonjolkan menjadi inspirasi kepada atlet muda lain untuk bekerja lebih keras demi mengharumkan nama Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Tiada siapa menyangka Muhammad Fauzi pada awalnya tidak berminat menyertai sukan pelayaran, namun atas dorongan ibunya, Hasni Muhammad, yang bekerja sebagai tukang masak di Kompleks Sukan Perahu Layar Kebangsaan di Langkawi, namanya kini menjadi sebutan sebagai antara atlet pelayaran terbaik negara.

Bermula dengan Sukan Malaysia (Sukma) dan kemudian berjaya menyumbangkan pingat dalam dua temasya Sukan SEA di Singapura (2015) dan Kuala Lumpur (2017), kejayaan demi kejayaan diraih atlet berasal dari Pulau Langkawi itu.

Pencapaian gemilang yang berjaya diraih atlet muda ini sepanjang 2018 ialah meraih pingat gangsa acara Laser 4.7 di Kejohanan Perahu Layar Asia pada Jun, sebelum menyumbang emas kepada kontinjen negara pada Sukan Asia Jakarta-Palembang pada tarikh sambutan Hari Kemerdekaan ke-61.

Muhammad Fauzi bakal menerima anugerah tersebut pada satu majlis gilang-gemilang yang akan diadakan di sebuah hotel di Petaling Jaya pada 10 April ini, bersempena sambutan ulang tahun penubuhan SAM ke-50.

Artikel Berkaitan:

Majlis tersebut turut mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar untuk berangkat hadir.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman juga dijadual hadir pada majlis tersebut.

Enam kategori turut dipertandingkan untuk memberi pengiktirafan kepada wakil media tempatan melibatkan Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka) dan Fotografi Sukan Terbaik.

Pemenang keseluruhan bagi kategori kewartawanan sukan akan dinobatkan sebagai penerima trofi Anugerah Siebel serta hadiah wang tunai berjumlah RM7,000.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!