Kisah dongeng Leicester tinggal kenangan
CERITA dongeng Leicester City apabila muncul juara Liga Perdana Inggeris (EPL) tujuh tahun lalu masih segar dalam ingatan peminat bola sepak seluruh dunia.
Adakah kisah dongeng itu akan berakhir apabila The Foxes ketika ini terbenam di dasar liga tanpa sebarang kemenangan cuma sekali seri hasil daripada enam perlawanan EPL.
Sejarah gemilang Leicester apabila pada ketika itu muncul juara EPL, mara hingga ke suku akhir Liga Juara-Juara, memenangi Piala FA dan Perisai Komuniti, mara ke kelompok empat terakhir pertandingan Eropah.
Para peminat Foxes gembira untuk meraikan banyak kejayaan, namun tiada yang kekal selama-lamanya dan penyokong mereka kini takut apabila pasukan itu berdepan pertarungan penyingkiran.
Berikutan kekalahan 2-5 di Brighton awal pagi Isnin, Leicester perlu bangkit di tengah-tengah pertarungan yang semakin meningkat.
Pengulas perlawanan Gary Lineker, peminat seumur hidup Leicester dan bekas pemain meluahkan kebimbangannya di Twitter.
"Masa yang membimbangkan bagi kami peminat Foxes. Pertahanan yang mengerikan dan sistem yang berbeza setiap 45 minit," ciap beliau di Twitter.
Para penyokong di Amex turut meluahkan rasa tidak puas hati apabila membentang sepanduk tertera 'Rodgers keluar'.
Brendan Rodgers menjadi pengurus yang cemerlang sejak Februari 2019 dan dalam tempoh tiga musim dia membantu kelab meraih beberapa gelaran.
Leicester memenangi Piala FA buat kali pertama, memenangi Perisai Komuniti, mara ke separuh akhir Piala Liga dan Liga Persidangan Europa selain menduduki tempat kelima serta kelapan EPL.
“Keputusan bergantung kepada saya sebagai pengurus. Kami perlu bekerja lebih keras untuk meraih kemenangan pertama.
“Fokus saya adalah pada bola sepak dan cuba untuk memberikan pemain keyakinan serta struktur kepada permainan untuk kembali menang.
“Kami akan tiba dengan tenaga baharu, fokus dan muncul dengan keyakinan yang tinggi minggu depan,” katanya selepas perlawanan menentang Brighton.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!