Anak penyu kepala dua penemuan ketiga di Malaysia

Anak penyu agar berkepala dua ditemui sekumpulan sukarelawan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort di Dungun pada 30 Ogos lalu.
Anak penyu agar berkepala dua ditemui sekumpulan sukarelawan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort di Dungun pada 30 Ogos lalu.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seekor anak penyu agar berkepala dua yang di temukan masih hidup di Tanjong Jara Resort, Dungun pada 30 Ogos lalu merupakan penemuan ketiga yang direkodkan secara rasmi di negara ini.

Pakar penyu dari Institut Penyelidikan Marin Borneo, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Madya Dr Juanita Joseph berkata, penemuan anak penyu yang masih hidup amat jarang berlaku kerana kebanyakan yang ditemui tidak hidup lama dan mati.

Jelas beliau, penemuan pertama berlaku di Pulau Redang pada 2012 ketika beliau berkhidmat di unit Penyelidikan Penyu Laut (SEATRU), Institut Oseanografi & Sekitaran (INOS), Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

"Pelbagai kajian dijalankan terhadap anak penyu tersebut namun jangka hayatnya tidak bertahan lama. Ia mati dua bulan kemudian.

"Penemuan kedua anak penyu berkepala dua yang masih hidup pula ialah di Pulau Mabul pada tahun 2019 dan ketiga di Dungun, Terengganu pada 30 Ogos lalu," katanya ketika dihubungi, di sini, pada Isnin.

Menurutnya, sepanjang pemuliharaan penyu dijalankan di Pulau Redang (1993 sehingga kini), hanya lima kes penyu berkepala dua pernah dijumpai namun kebanyakkan mati di dalam sarang.

"Daripada lima penemuan, mungkin hanya satu sahaja yang masih hidup dan ia tidak akan bertahan lama kerana sukar untuk mengkoordinasi pergerakan dua kepala dengan berkongsi hanya satu organ dalaman yang lain.

"Sebelum ini, SEATRU pernah juga menjumpai anak penyu agar dan anak penyu karah berkepala dua, tetapi mati di dalam sarang.

Artikel Berkaitan:

"Berdasarkan rekod setakat ini, usia paling lama untuk seekor penyu berkepala dua adalah tiga bulan sahaja iaitu yang ditemui di Florida, Amerika Syarikat," katanya.

Beliau berkata, penyu berkepala dua digelar bicephaly atau dicephalism iaitu berkongsi jantung dan anggota badan yang lain.

"Ia bukan sesuatu yang pelik kerana telah lama dilaporkan terjadi kepada haiwan reptilia marin terutamanya penyu, cuma jarang berlaku menyebabkan penemuannya dianggap luar biasa dan membuatkan ramai yang teruja.

"Namun, saintis masih kurang memahami bagaimana kepala dua ini berlaku kerana bicephaly sangat jarang berlaku. Antara faktor penyebab mungkin berpunca kombinasi genetik dan faktor persekitaran," jelasnya.

Pada 30 Ogos lalu, sekumpulan sukarelawan di pusat penetasan penyu di Tanjong Jara Resort di Dungun terkejut apabila menemukan seekor anak penyu agar berkepala dua.

Anak reptilia marin unik itu diserahkan kepada Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu di Rantau Abang, Dungun untuk pemantauan rapi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!