Kelantan belum mahu mengalah
KELANTAN FC masih belum mahu mengangkat 'bendera putih' walaupun peluang bergelar juara Liga Premier musim ini semakin tipis susulan kekalahan pada Ahad.
Pengendali Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, kekalahan itu membuatkan The Red Warriors (TRW) bimbingannya kini terpaksa bergantung harap kepada keputusan perlawanan terakhir Johor Darul Ta'zim II (JDT II) yang kini berada di tangga teratas liga.
“Perlawanan terakhir Kelantan FC akan bertemu Kelantan United FC (KUFC) dan kami masih lagi dalam misi mencari tiga mata penuh, pemain perlu lupakan kekalahan ini dan perbaiki kelemahan,” katanya kepada selepas perlawanan tersebut di Kota Bharu.
Hasrat Kelantan FC memintas kedudukan pendahulu Liga Premier, JDT II terbantut selepas tewas 1-2 kepada Selangor FC II di Stadium Sultan Muhammad IV.
Kelantan memperoleh gol tunggal menerusi sepakan penalti Muhammad Ghaffar pada minit ke-76, manakala Selangor FC II menerusi jaringan Muhammad Aliff Izwan Yuslan pada minit ke-28 dan S Sharvin pada minit ke-34.
Kelantan FC kini berada di tangga kedua liga dengan mengumpul 36 mata, kurang tiga mata berbanding JDT II yang mengumpul 39 mata selepas 17 perlawanan Liga Premier. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!