Anwar masih pertimbang tanding di beberapa kerusi Parlimen

Anwar
Anwar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mempertimbangkan beberapa kerusi Parlimen untuknya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, terdapat cadangan beberapa kerusi Parlimen seperti Permatang Pauh (Pulau Pinang), Tambun (Perak) atau Port Dickson (Negeri Sembilan).

“Saya sedang meneliti (beberapa kerusi Parlimen), rakan-rakan di PD minta saya teruskan (bertanding di Port Dickson), Tambun menyatakan bersiap sedia (beri laluan) dan beberapa kawasan lain.

“Sebaik saya putuskan, saya akan umumkan nanti, bila (umum) tertakluk pada tarikh PRU15 diadakan. Belum pasti tetapi dari segi PKR, kita memang bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 pada November,” katanya ketika ditemui selepas Simposium Perubahan Iklim 2022 di Parlimen pada Isnin.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan Ketua Pembangkang itu tidak menolak kemungkinan akan bertanding di Tambun, namun perkara itu masih dalam pertimbangan dan belum dimuktamadkan.

Sementara itu, mengulas mengenai penyertaan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dalam gabungan Pakatan Harapan (PH), Pengerusi PH itu menjelaskan, perkara itu juga belum dibincangkan.

“Majlis Presiden PH belum membincangkan soal penyertaan Muda dalam pakatan dan soal itu tidak berbangkit.

“Soal kerjasama dan perbincangan tidak ada masalah di kalangan parti pembangkang, tetapi untuk penyertaan (Muda) dalam PH belum dibincangkan oleh majlis presiden,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Timbalan Presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz dilaporkan berkata, parti itu akan memastikan tidak berlaku lagi pertindihan kerusi dengan PH pada PRU15 seperti yang terjadi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!