Anthony Loke tidak gentar lawan KJ di Seremban
SHAH ALAM - Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan beliau sedia berhadapan dengan Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dalam mempertahankan kerusi Parlimen Seremban di Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ujar beliau, sebagai pemimpin DAP, beliau tidak gentar menghadapi sebarang kemungkinan dan cabaran dalam perjuangan politik.
“Yang pertamanya, adalah menjadi hak demokrasi masing-masing untuk bertanding di mana-mana kawasan.
Saya tetap bersedia untuk mempertahankan kerusi Parlimen Seremban dalam PRU15 walaupun berhadapan dengan KJ (Khairy Jamaluddin) atau sesiapa pun yang dicalonkan oleh pihak lawan.
“Biarlah rakyat dan pengundi di Parlimen Seremban menilai dan memutuskan sama ada saya terus layak mewakili kepentingan dan suara mereka di Dewan Rakyat,” katanya dalam siaran di Facebooknya pada Isnin.
Pada Ahad, media melaporkan bahawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui bakal 'berpindah' ke kawasan Parlimen lain dalam PRU15.
Jelas beliau, ia susulan kerusi yang disandang sejak tiga penggal lalu itu diberi kepada Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyatakan hasrat untuk bertanding di situ.
Dalam pada itu, ulas Anthony Loke, persaingan merebut kerusi di Parlimen Seremban itu dijangka menjadi sengit dalam pilihan raya akan datang.
“KJ merupakan tokoh politik yang berkaliber dan sudah tentu merupakan pesaing yang kuat di mana sahaja beliau bertanding.
“Sekiranya benar beliau bertanding di Parlimen Seremban, maka persaingan ini amatlah sengit dan akan menjadi antara kerusi yang paling ‘panas’ dalam PRU15,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!