Bubur 'homemade' buat anak Malaysia
HASRAT seorang ibu di Sungai Petani, Kedah menyediakan hidangan bubur berkhasiat untuk anak sendiri akhirnya berjaya memanfaatkan produk organik dihasilkan buat semua bayi di Malaysia.
Menu yang disediakan menggunakan beberapa bahan antaranya serbuk beras, serbuk bilis, serbuk ayam, serunding ikan salmon dan mee kurma tanpa perisa tambahan, tanpa gula dan garam itu, kini menjadi pilihan kebanyakan ibu di rumah serta yang bekerja.
Jasnida Mohamad Jamil, 34, berkata, pada mulanya hanya berkongsi resepi melalui laman sosial namun lama-kelamaan menerima tempahan dan cuba memasarkannya.
Ibu kepada empat orang anak itu berkata, dia memberanikan diri memasarkan produk 'homemade' itu secara kecil-kecilan dengan hasrat agar semua bayi dan kanak-kanak lain dapat menikmati hidangan organik dan mengelakkan daripada terdedah kepada makanan ringan serta tidak berkhasiat.
"Saya dan suami mengusahakan makanan ini dari tingkat 17 Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara bermula tahun 2015.
"Disebabkan banyak kekangan seperti lif selalu rosak dan terpaksa memikul stok menggunakan tangga, saya dan suami mengambil keputusan untuk balik ke Kedah dan menyewa di Sungai Petani," katanya.
Jasnida berkata, pada 2017 permohonan untuk mendapatkan kilang di Kedah Halal Park (KHP) berjaya kerana sebelum ini hanya memproses makanan itu dari rumah sahaja.
Mengimbau detik permulaan bagaimana idea tercetus, wanita lepasan bidang penyiaran serta pernah bekerja di sebuah syarikat produksi di ibu negara ini berkata, terpaksa melepaskan pekerjaan itu setelah berkahwin dan memiliki cahaya mata.
Katanya, setelah beberapa tahun, permintaan produk makanan bayi meningkat membolehkan pihaknya membesarkan kapasiti pengeluaran kepada tiga unit kilang di KHP pada Ogos lalu.
"Saya berpuas hati dapat menyediakan makanan organik, halal dan berasaskan bahan semulajadi kepada bayi seawal enam bulan.
"Kami menitikberatkan pemakanan anak-anak dan berharap semua ibu bapa turut memberikan makanan terbaik buat si kecil kerana makanan berkhasiat mampu meningkatkan antibodi sekali gus menghindarkan sebarang penyakit.
"Langkah mudah dengan hanya menambah air suam atau air panas, hidangan bayi mampu disediakan dengan pantas,"katanya.
Kini, Jasnida berjaya menghasilkan 42 jenis produk yang dipasarkan ke seluruh negara serta Sabah dan Sarawak.
Lebih membanggakan, produk tersebut kini telah menembusi Brunei dan Myammar dan sedang melakukan persiapan bagi memenuhi permintaan pasaran Amerika Syarikat, Eropah dan China.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!