MAIS perkasa strategi libat urus harta pusaka
SHAH ALAM - Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memperkasa strategi dan menjadi rujukan utama kepada masyarakat Islam untuk sentiasa mengutamakan aspek pengurusan harta pusaka.
Selaku badan berautoriti ke atas hal ehwal agama Islam di Selangor, Setiausaha MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, pihaknya sentiasa memperkasa perkhidmatan termasuk menyediakan beberapa platform digital untuk memudahkan pengurusan harta pusaka secara dalam talian
Beliau berkata, ia termasuklah platform Siswa MAIS, K-Faraid MAIS, e-Faraid MAIS dan sebagainya selari dengan perkembangan digitalisasi.
"MAIS sentiasa bersedia membantu umat Islam dalam menguruskan harta dengan menyediakan pelbagai saluran untuk dihubungi iaitu di talian 03-55143773 atau layari laman sesawang MAIS di www.mais.gov.my," kata beliau.
Sementara itu, pihaknya juga turut berusaha memastikan umat Islam celik dalam memahami ilmu faraid iaitu salah satu cabang ilmu melibatkan pengurusan harta pusaka.
Berdasarkan laporan media katanya, hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoriti umat Islam tidak dituntut sejak merdeka sehingga ke hari ini.
"Banyak kesan negatif apabila waris atau masyarakat tidak memahami ilmu faraid antaranya pertelingkahan sesama waris, pembekuan harta pusaka, isu kematian berlapis, isu anak angkat, isu anak tidak sah taraf dan lain-lain," katanya menerusi kenyataan pada Isnin.
Sehubungan itu, pihaknya turut menganjurkan Forum Perdana Hal Ehwal Islam dengan memilih tajuk Pusaka Tidak Bertuan sempena ulang tahun ke-70 agensi itu yang akan disiarkan secara langsung pada 8 September ini menerusi saluran RTM TV1 pada jam 9 malam.
Ahmad Shahir berkata, tajuk itu dipilih bagi memupuk kesedaran umat Islam dalam menguruskan harta pusaka yang ditinggalkan.
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah turut berkenan berangkat ke Forum Perdana Hal Ehwal Islam berkenaan.
Forum tersebut menampilkan tiga ahli panel terdiri Mufti Selangor, Datuk Anhar Opir; Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Profesor Madya Datuk Dr Farid Ravi Abdullah dan Pengarah Baitulmal MAIS, Indera Shahril Mohd Shahid.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!