Pelajar cemerlang tanpa kerakyatan ditawar biasiswa UUM
POKOK SENA - Nasib seorang pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2021 mendapat PNGK 4.0 namun bimbang tidak dapat melanjutkan pelajaran di universiti kerana tiada kad pengenalan dan kerakyatan mendapat perhatian Universiti Utara Malaysia (UUM).
Peluang tersebut kini terbuka buat Muhammad Omar Mokhtar Abdul Rahman, 20, yang bercita-cita melanjutkan pelajaran dalam bidang pendidikan di peringkat institusi pengajian tinggi (IPT).
Bekas Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Kubor Panjang, Pendang ini menerima kunjungan Naib Canselor UUM, Profesor Dr Haim Hilman Abdullah sebelum menyerahkan surat tawaran memasuki universiti berkenaan termasuk menerima sumbangan dan bakul kongsi rezeki pada Isnin.
"Saya bersyukur kerana menerima kunjungan Naib Canselor UUM dan bersedia mempertimbangkan peluang itu kerana bimbang proses mendapatkan kad pengenalan mengambil masa lama.
"Saya bercita-cita sejak kecil untuk menjadi pendidik seperti pensyarah ataupun guru dan bagi memenuhi impian itu, saya perlu melanjutkan pengajian ke peringkat IPT," katanya pada pemberita semasa ditemui di Kampung Kuala Lanjut, Mukim Lesong, dekat sini.
Muhammad Omar Mokhtar dilahirkan 31 Ogos 2002 gagal mendapatkan kad pengenalan pada usia 12 tahun disebabkan kad pengenalan ibu kandungnya berasal dari Sabah mempunyai beberapa masalah.
Selepas ibu bapanya berpisah pada tahun 2015, dia telah diambil sebagai anak angkat secara sah oleh ibu saudaranya yang tinggal di Kedah.
Penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 September lalu ini berkata, disebabkan ketiadaan kad pengenalan, dia juga tidak dapat memohon bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), zakat, biasiswa sekolah termasuk tidak dapat mengambil lesen motosikal.
Sementara itu, Haim Hilman semasa ditemui berkata, UUM prihatin pada nasib anak bangsa yang dihimpit masalah dan tampil membantu mereka agar terus bersemangat untuk belajar ke peringkat tertinggi.
Menurutnya, ujian hidup seperti kemiskinan adalah proses dari ALLAH untuk mentarbiah seseorang menjadi insan hebat dan berjaya di masa depan.
"Suka saya menyatakan bahawa UUM sedia untuk menawarkan biasiswa kepada mereka jika memilih universiti ini untuk melanjutkan pelajaran.
"Di mana jua pilihan universiti dibuat oleh anak-anak ini, UUM sentiasa mendoakan yang terbaik buat mereka," ujar Haim Hilman.
Selain Muhammad Omar Mokhtar, Haim Hilman turut mengunjungi Salmah Aminudin, 20, di Kampung Budi, dekat sini dan Nurasyikin Azizan, 20 di Kampung Sungai Mas, Mukim Padang Kerbau, Pendang yang juga memperoleh PNGK 4.0 pada STPM 2021.
Salmah tinggal bersama neneknya, Aisyah Saad, 82, sejak kecil merupakan anak tunggal dan kehidupan mereka kini bergantung kepada bantuan JKM.
"Terima kasih UUM kerana sudi melawat saya. Saya minat bidang pendidikan dan pilihan utama semasa memohon UPU Online adalah USM namun saya akan bincang dengan guru untuk pertimbangkan tawaran UUM," kata bekas pelajar SMK Kubor Panjang, Pendang itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!