Wanita PH angkat lima resolusi menangi PRU15

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Wanita Pakatan Harapan (PH) mengangkat lima resolusi untuk memperkukuhkan konsensus menyatukan seluruh kekuatan jentera wanita parti gabungan parti itu dalam memobilisasi gerak kerja memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua penerangannya, Soraya Salim berkata, ia merangkumi dokumen Agenda Wanita Malaysia sebagai sebahagian daripada tawaran PH untuk rakyat Malaysia merangkumi perlindungan hak, jaminan kesejahteraan dan kemakmuran pelbagai lapisan masyarakat.

Pihaknya juga turut yakin dan beriltizam untuk meningkatkan representasi kepimpinan wanita dalam politik agar pembangunan Malaysia lebih rahmah dan berdaya saing.

"Kedua, memperkasa struktur dan fungsi Majlis Pimpinan Wanita Harapan di peringkat nasional dan negeri.

"Seterusnya, kami akan menggerakkan siri Jelajah Wanita PH sebagai persediaan memenangi PRU15 dan mengadakan Konvensyen Wanita Pakatan Harapan di peringkat nasional dan melancarkan Agenda Wanita Malaysia," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, Majlis Ketua Wanita PH juga bersetuju memperkemaskan struktur kepimpinan Wanita PH sebagai manifestasi kesatuan politik yang lebih jitu, segar dan dinamik mengambil kira dinamika perubahan politik semasa dan penampilan generasi baharu.

"Dengan kerjasama padu daripada kesemua komponen wanita gabungan parti PH, kemas kini struktur kepimpinan ini bakal memberi nafas baharu dalam perjuangan reformasi politik tanah air melalui pembudayaan politik nilai dan idea, politik mendidik dan politik khidmat demi membebaskan Malaysia daripada politik khianat, fitnah, propaganda dan kebencian kaum.

"Sempena bulan kemerdekaan negara yang ke-65, Wanita PH juga terus komited menggembleng kebangkitan total rakyat bagi memerdekakan negara daripada cengkaman kerakusan elit politik yang digelumangi rasuah untuk memenangi PRU15 sekali gus mencetus perubahan politik negara ke arah pemerintahan bermaruah, demokratik, adil dan inklusif," katanya.

Artikel Berkaitan: