'Suara rakyat, suara keramat'

Tangkap layar video dimuat naik Syed Saddiq di laman Facebooknya pada Isnin.
Tangkap layar video dimuat naik Syed Saddiq di laman Facebooknya pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyatakan desakan daripada anak muda dalam soal pemberian tablet secara terus akhirnya didengari oleh kerajaan.

Menurutnya, desakan anak muda itu berjaya mengubah keputusan kerajaan untuk bersetuju memberi terus tablet berjenama terkenal kepada semua penerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

“Tahniah anak muda Malaysia kerana desakan anda semua akhirnya kerajaan mendengar. Dulu kerajaan hanya nak pinjamkan tablet.

“Selepas kita mendesak kini diberikan secara terus dan percuma. Dulu nak berikan model tablet yang tidak berkualiti kini selepas kita mendesak dapat tablet jenama Samsung terus.

“Ini adalah kemenangan untuk rakyat. Suara kamu, suara keramat," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook pada Isnin.

Sebelum ini media melaporkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan kerajaan bersetuju untuk memberi terus tablet berjenama terkenal kepada semua penerima Inisiatif PerantiSiswa Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata, pelajar tidak perlu pinjam dan tidak perlu pulangkan semula tetapi kerajaan akan bagi terus pemberian tablet berkenaan.

Ahli Parlimen Muar itu bagaimanapun memberi tiga cadangan penambahbaikan mengenai isu berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Pertama adalah percepatkan bantuan. Dulu janji nak berikan pada bulan Jun tetapi September baru nak mula.

"Jadikan pemberian itu secara segera kerana ramai yang susah dan nak masuk universiti sekarang," jelasnya.

Bagi cadangan kedua pula, beliau berkata, masalah permohonan dalam talian perlu diperbetulkan.

"Ini kerana ramai mahasiswa yang mengadu tidak menerima 'activation' e-mel dan universiti tidak tersenarai.

"Selain itu ada yang mohon sejak April tetapi belum ada jawapan lagi. Jadikan urusan mereka dipermudahkan," ujarnya.

Menurutnya, cadangan ketiga ialah memastikan proses tersebut berintegriti dan ada ketelusan kerana RM450 juta wang cukai rakyat akan dibelanjakan.

Sehubungan itu katanya, kerajaan perlu pastikan setiap satu tablet sampai kepada golongan memerlukan.

"Kita perlu pastikan perkara yang kita lakukan ini dengan baik sebab itu rakyat perlu terus mendesak.

"Anak muda perlu berani bangkit kerana apabila kita bangkit, kerajaan wajib mendengar suara kita. Suara rakyat suara keramat," jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!