PRU15: Hajiji mahu calon GRS menang di Parlimen Lahad Datu
LAHAD DATU - Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor mahu kerusi Parlimen Lahad Datu dan kesemua empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawahnya menjadi milik gabungan itu.
Katanya, pemimpin dan ahli komponen GRS terutama di kawasan itu perlu bekerja kuat dan terjemahkan sokongan mereka dengan memastikan calon GRS memenangi kerusi Parlimen Lahad Datu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Selain kerusi parlimen, kita juga perlu memastikan kerusi-kerusi DUN dalam Parlimen Lahad Datu yang kini dipegang parti pembangkang juga dimenangi GRS pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
"Tiada apa yang rakyat boleh harapkan daripada pembangkang kerana mereka tidak dapat mengubah nasib rakyat. Rakyat dan pengundi di Lahad Datu perlu mengubah nasib mereka dengan bijak membuat pilihan pada PRU akan datang.
"Hakikatnya hanya wakil rakyat daripada kerajaan sahaja yang dapat membawa pembangunan dan kemajuan yang lebih pesat kepada Lahad Datu," katanya ketika melancarkan Program Jelajah GRS Peringkat Parlimen Lahad Datu, di Dewan Sri Perdana di sini, pada Isnin.
Ketua Menteri Sabah itu turut berkata, GRS akan menerima parti-parti tempatan yang berminat menyertai gabungan itu bagi bersama-sama berjuang bagi memastikan Sabah terus maju dan jaya serta dipimpin oleh gabungan parti tempatan.
"Jika kita sayangkan Sabah, inilah masanya kita bersatu hati dalam GRS. Saya mahu mendengar daripada pemimpin-pemimpin UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang mereka nyatakan bahawa mereka mahu bekerjasama untuk kepentingan negeri Sabah," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!