1MDB: Saksi berulang kali jawab 'tidak ingat'

Najib Tun Razak
Najib Tun Razak
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau 'tidak ingat' mengenai beberapa bahagian dalam pernyataan saksinya membabitkan pegawai 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang didakwanya berkomunikasi terus dengan Pejabat Perdana Menteri bagi mengelak daripada disoal oleh Kementerian Kewangan.

Bekas Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa, 63, memberikan jawapan itu kepada beberapa soalan peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed pada perbicaraan kes 1MDB yang dihadapi oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.

Memandangkan saksi berulang kali menjawab ‘tidak ingat,’ Wan Aizuddin bertanya sama ada kenyataan mengenai komunikasi terus di antara pegawai 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri itu merupakan kenyataan beliau sendiri dan saksi menjawab "ya.”

Wan Aizuddin: Sekarang ini jika benar ia adalah kenyataan daripada Datuk sendiri, saya nak tanya bagaimana Datuk tahu pihak 1MDB berhubung terus dengan Pejabat Perdana Menteri?

Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

Wan Aizuddin: Adakah Datuk diberitahu oleh seseorang atau pernah lihat sebarang dokumen mengenai komunikasi mereka? (1MDB dan Pejabat Perdana Menteri)

Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

Wan Aizuddin: Saya cadangkan kenyataan yang Datuk buat mengenai perkara ini (komunikasi terus antara 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri) tidak berasas. Saya katakan Datuk tiada bukti untuk sokong kenyataan itu.

Artikel Berkaitan:

Siti Zauyah: Saya tidak ingat.

Kepada soalan Wan Aizuddin mengapa saksi tidak memaklumkan sendiri kepada Najib selaku Perdana Menteri dan Menteri Kewangan ketika itu mengenai masalah komunikasi terus antara 1MDB dan Pejabat Perdana Menteri, Siti Zauyah berkata "Saya hanya melapor kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah.”

Bagaimanapun, Siti Zauyah berkata, beliau juga tidak ingat sekiranya pernah memberitahu Mohd Irwan mengenai masalah komunikasi terus itu.

Sementara itu, Siti Zauyah mengakui beliau berasa pelik apabila menerima arahan Mohd Irwan untuk menyegerakan pengeluaran memorandum daripada Kementerian Kewangan mengenai syarikat usaha sama yang ditubuhkan bagi tujuan khusus oleh 1MDB dan Aabar Investment PJS.

Dalam pernyataan saksinya, Siti Zauyah berkata, dokumen mengenai syarikat usaha sama antara 1MDB dan Aabar itu diarah disediakan dengan pantas supaya ia boleh dibentang dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Februari 2013.

Katanya, beliau juga berasa pelik kerana permintaan untuk menyegerakan pengeluaran sesuatu dokumen tidak pernah dilakukan di kementerian itu sebelum ini.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!