Itu buat aku jeles denganmu: Heliza Helmi
Menurut Heliza, ketika menziarahi Mila yang kini ditahan di hospital akibat demam denggi, dia rasa sebak kerana rakan baiknya itu tetap bimbangkan kesihatan Heliza berbanding keadaan diri sendiri.
"Sebenarnya Kak Ja (Heliza) orang yang susah nak menangis, jadi bila tiba-tiba rasa nak nangis itu, memang sangat menyentuh hati.
"Dalam keadaan mu (Mila) sangat lemah, mu masih boleh bertanya khabar sahabat-sahabat mu. Mu suruh aku rehat sebab aku kena surgery, padahal mu patut kena rehat," tulisnya.
Tambah selebriti berusia 33 tahun ini, Mila yang dikenalinya adalah seorang insan yang terlalu baik hatinya.
Katanya, sejak dahulu lagi apabila terlibat dengan misi kemanusiaan atau bantuan apa-apa, Mila adalah orang terawal yang menghulurkan pertolongan dan konsisten.
"Mila ada Restoran Embun Urai dan setiap minggu mereka akan masak dan berikan anak-anak tahfiz makan.
"Mila dan suami tidak pernah berkira, lansung tak lokek. Bukan soal duit sahaja mereka laju membantu, malah mereka taja orang pergi umrah, tolong orang susah, sehinggakan pekerja bersalin pun mereka jaga dan sediakan pembantu untuk jaga.
"Itu yang buat aku cemburu dengan mu dalam masa yang sama aku sangat-sangat bersyukur jadi sahabatmu," ujarnya.
Malah Heliza berkata, dia sentiasa mengingati ayat yang pernah diungkapkan Mila, 32, sebelum ini.
"Tak ada apa lagi dah nak kat dunia, dah ada suami, anak-anak, keluarga, Alhamdulillah. Banyak benda nak kejar untuk akhirat.
"Untuk Mila, moga ALLAH kurniakan mu kebahagian dunia akhirat kekal abadi, moga ALLAH kurniakan mu Syurga tertinggi bersama keluarga tercinta.
"Aku harap mu tarik aku dan keluarga serta sahabat lain masuk syurga ya," akhirinya.
Sementara itu, Mila menerusi akaun Instagramnya turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakannya.
"Alhamdulillah, ALLAH beri kesembuhan dan memberikan saya nikmat kesihatan semula...
"Bersyukur saya pada ALLAH kerana meminjamkan saya nikmat kesihatan ini. Saya kena jangkitan demam denggi sehingga blood plate turun sehingga bacaan 5.
"Allahuakbar....Nanti saya ceritakan pengalaman saya... Buat kalian, berhati hati InsyaALLAH.
"Terima Kasih diatas doa kalian buat saya... Hanya ALLAH mampu membalasnya," tulisnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!