Tinggal di pondok belajar al-Quran hingga akhir usia
JEMPOL - "Saya nak menetap di sini sampai dijemput iIahi," kata seorang penghuni Pondok Ar-Raudhah, Robiah Talib, 82.
Robiah memilih menghabiskan usia emasnya dengan menetap di pondok itu sejak enam tahun lalu demi mendalami ilmu agama Islam dan al-Quran.
"Sudah cecah usia begini tiada apa yang hendak dikejar selain saham akhirat," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pondok Ar-Raudhah, Bahau di sini pada Isnin.
Jelas warga emas itu, pondok berkenaan adalah kediamannya yang ketiga selepas pondok warga emas di Segamat, Johor dan Batu Kikir, Jempol.
"Saya tak ada anak kandung melainkan tiga anak angkat sahaja, suami pun dah lama meninggal. Biarpun anak-anak bertegas mahu menjaga, saya menolaknya dengan baik.
"Mereka akhirnya akur malah faham akan keinginan saya untuk terus menetap di sini dan tumpuan hanya kepada amal ibadat serta ilmu akhirat.
"Lagipun suasana di sini selesa dan sesuailah dengan usia sebegini yang inginkan perkara yang tenang-tenang sahaja," katanya.
Kata Rubiah, jadual hariannya sentiasa padat dengan pengajian al-Quran, ceramah agama selain solat berjemaah bermula dari Subuh sehingga Isyak.
Seorang lagi penghuni, Noora Wahab, 70, yang berasal dari Rembau juga sudah enam tahun menetap di pondok berkenaan.
"Saya berhasrat untuk 'habis' di sini sekiranya diizinkan ALLAH SWT. Tidak perlu fikir tentang dunia sebab saya sudah puas merasainya dahulu.
"Alhamdulillah anak-anak memahami kehendak ibunya, malah mereka ada datang menjenguk saya di sini," katanya.
Dalam pada itu, penyelia kediaman Pondok Ar-Raudhah, Khadijah Samsudin, 80, berkata, ketika ini terdapat seramai 35 penghuni di pondok berkenaan yang kesemuanya ibu tunggal berumur 60-an hingga 80-an.
"Pondok ini dibuka sejak 2016, menjadi pondok tumpuan warga emas yang mahu mendalami ilmu agama dan al-Quran selain ditubuhkan bertujuan untuk membina sebuah pusat pengajian agama tidak formal bagi kemudahan masyarakat Islam mempelajari ajaran Islam," katanya.
Sementara itu, menurut Mudir pondok itu, Mohd Nasir Othman, mereka yang tinggal di sini boleh menghabiskan ruang masa dengan membaca al-Quran dan beramal.
"Pondok ini konsepnya lebih untuk mereka menjalani kehidupan di sini sehingga akhir hayat.
"Sebab itu masa kita mula-mula buat pondok memang ada nasihat dari sebuah pondok lain, mereka menekankan supaya bina dan suasana pondoknya selesa yang boleh," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!