Floria Diraja 2022 lanjut hingga Ahad, masuk percuma mulai esok

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan Anugerah Floria Garden Prime Award 2022 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Majlis Penutup Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, pada Selasa. - Foto Bernama
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim menyampaikan Anugerah Floria Garden Prime Award 2022 kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sempena Majlis Penutup Floria Diraja Putrajaya 2022 di Anjung Floria, pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Festival yang mempamerkan pelbagai spesies dan bunga-bungaan serta tanaman hiasan, Floria Diraja Putrajaya 2022 yang dijadualkan berakhir hari ini dilanjutkan sekali lagi sehingga Ahad (11 September), demikian umum Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim.

Shahidan berkata, bersempena cuti penggal persekolahan hingga Ahad ini, tiket masuk ke festival itu adalah percuma mulai esok bagi memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak-anak mereka ke Floria Diraja Putrajaya 2022.

"Ini adalah hadiah buat Keluarga Malaysia. Kita bagi percuma sebab ada ibu bapa yang bawa anak-anak melawat Putrajaya, jadi wajar kita bagi masuk percuma.

"Dengan kemasukan secara percuma ini, kita sasar 100,000 pengunjung hadir untuk tempoh lima hari pelanjutan ini,” katanya selepas menghadiri majlis penutup Floria Diraja Putrajaya 2022 di sini, pada Selasa.

Jumaat lepas, Perbadanan Putrajaya (PPj) mengumumkan pelanjutan festival itu sehingga hari ini (6 Septemper) berikutan sambutan yang amat menggalakkan daripada orang ramai. Festival berkenaan sepatutnya berakhir pada 4 September.

Shahidan berkata, pelbagai aktiviti menarik akan diteruskan termasuk cabutan bertuah dengan hadiah utama sebuah motosikal pada hari terakhir Floria Diraja Putrajaya 2022, selain persembahan daripada kumpulan busker.

Lebih 400,000 pengunjung menyaksikan Floria Diraja Putrajaya 2022 sejak ia membuka tirai pada 29 Ogos lepas. Bertempat di Anjung Floria, Presint 4 di sini, terdapat kira-kira 10,000 pokok orkid dan 400,000 tanaman pelbagai spesies dipamerkan.

Floria Diraja Putrajaya 2022 turut mempamerkan Taman Keluarga Malaysia dengan konsep yang diadaptasi melalui tiga nilai iaitu Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran.

Artikel Berkaitan:

Antara komponen yang terdapat di festival itu ialah Taman Keluarga Malaysia, Taman Koboi dan Sukulen, Taman Instagrammable, Hiasan Dinding Orkid dan Terowong Oncidium.

Shahidan dalam pada itu turut mengisytiharkan bunga raya sebagai bunga rasmi bagi Putrajaya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!