PRU15: Muda sasar tanding 15 kerusi Parlimen
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) memutuskan untuk bertanding sekurang-kurangnya di 15 kerusi Parlimen termasuk Sabah dan Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Timbalan Presidennya, Amira Aisya Abd Aziz berkata, parti itu akan memberi fokus bagi mempertahankan kerusi Parlimen Muar yang disandang oleh Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman.
Bagaimanapun menurutnya, segala ketetapan adalah tertakluk kepada perbincangan bersama rakan gabungan kerjasama pada PRU15 nanti.
"Dalam situasi kedudukan Muda menyertai PRU15 adalah bersama sebuah gabungan, maka sasaran jumlah kerusi Parlimen untuk Muda adalah tidak lebih dari 15 kerusi seluruh negara.
"Kita tak akan pergi lebih 15 kerusi Parlimen parti kerajaan BN dan Perikatan Nasional (PN).
"Kita melihat kerusi daripada pelbagai negeri. Kita juga ada pasukan sangat kuat di Wilayah Sabah dan Sarawak jadi Muda akan letakkan calon di sana," katanya pada sidang media selepas Persidangan Pilihan Raya Muda di sini pada Selasa.
Tambah Amira yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Raya Muda,
parti itu tidak memberi keutamaan untuk memperoleh banyak kerusi sebaliknya fokus adalah kepada perjuangan isu rakyat.
"Muda bukan untuk dapatkan banyak kerusi tapi fokus beri kemenangan kepada rakyat dan beri nilai tambah kepada blok pembangkang,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, Muda turut mengumumkan semua ahli Muda di setiap peringkat boleh mencadangkan nama-nama calon untuk penilaian jawatankuasa.
"Kriteria-kriteria proses pemilihan calon Muda adalah dengan mengutamakan kepimpinan wanita dan orang muda yang berwibawa dan progresif," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!