Kerajaan tanggung hutang 1MDB sekadar dengar cakap: Saksi
Datuk Siti Zauyah Mohd Desa ketika hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A
Saksi pendakwaan ke-26, Datuk Siti Zauyah Mohd Desa berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1MDB dan pengubahan wang haram.
Saksi berusia 63 tahun itu berkata, ia adalah ‘hearsay’ atau sekadar dengar cakap daripada pegawai lain, bahawa syarikat itu gagal membayar balik pinjaman seperti di dalam terma yang ditetapkan.
Ketika merujuk pernyataan saksi, Siti Zauyah yang juga bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman, Pasaran Kewangan dan Aktuari (BPKA) Kementerian Kewangan berkata, sebelum ini 1MDB telah membuat pinjaman berjumlah AS$3 billion.
Wan Aizuddin: Bila datuk bersara?
Siti Zauyah: 2019.
Wan Aizuddin: Jadi kenyataan yang datuk bahawa 1MDB gagal buat bayaran, adakah datuk merujuk pada waktu itu atau macam mana?
Siti Zauyah: Tak ingat, kena rujuk dulu.
Wan Aizuddin: Jadi dalam pengetahuan datuk, sebelum datuk bersara dalam Kementerian Kewangan, adakah datuk tahu 1MDB telah gagal bayar bon AS$3 billion ini. Ya atau tidak?
Siti Zauyah: Saya tiada pengetahuan tapi saya ada dengar atau ‘hearsay’ daripada pegawai-pegawai di bahagian BPKA.
Malah saksi ini berkata, tidak pernah menerima sebarang laporan daripada 1MDB mengenai butir-butir perbelanjaan dana tersebut.
“Pinjaman AS$3 bilion itu adalah wang yang diperoleh daripada bon diterbitkan anak syarikat 1MDB iaitu 1MDB Global Investment Ltd (1MDB GIL), untuk usaha sama 50:50 antara 1MDB dan Aabar Investment PJS.
“Mesti ada bukti, tetapi saya tidak ingat,” katanya ketika menjawab soalan Wan Aizuddin di mana dokumen yang menyatakan kerajaan menanggung hutang disebabkan surat sokongan (LOS) yang dikeluarkan sebelum ini.
Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.
Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.
Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.
Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.
Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung petang ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!