Tapak Pelupusan Ladang Tanah Merah ditutup sementara
SEREMBAN- Operasi Tapak Pelupusan Ladang Tanah Merah (LTM) di Port Dickson dihentikan sementara bermula 29 Ogos lepas sehingga ke suatu tarikh yang akan diberitahu kelak susulan kolam takungan sisa pepejal pecah.
Exco Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru Negeri Sembilan, Teo Kok Seong berkata, arahan penutupan itu dikeluarkan oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 kepada operator tapak pelupusan berkenaan.
"Kolam takungan sisa pepejal di Tapak Pelupusan LTM telah pecah menyebabkan tumpahan air larut resap (leacheate) mengalir ke Sungai Anak Air Unyai di Jimah, Port Dickson.
"Keadaan itu juga menyebabkan pelbagai aduan awam khususnya kepada penduduk setempat dan penternak lembu selain ia menjejaskan jadual kutipan sampah di tiga daerah," katanya dalam sidang akhbar di Wisma Negeri pada Selasa.
Mengulas lanjut, Kok Seong berkata, satu perbincangan diadakan pada Isnin yang mana pihak operator akan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah leacheate selain operator memaklumkan fasiliti Waste To Energy (WTE) dijangka beroperasi pada pertengahan bulan ini.
"SWM Environment selaku syarikat konsesi bagi kutipan sisa pepejal telah diarahkan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) untuk menghantar semua sisa pepejal domestik yang dikutip dari kawasan Seremban, Nilai dan Port Dickson ke tapak pelupusan lain sementara waktu.
"Sisa berkenaan akan dihantar ke Tapak Pelupusan Ulu Maasop, Senaling di Kuala Pilah dan Tapak Pelupusan Sungai Muntoh, Jelebu yang masing-masing terletak lebih kurang 100 kilometer dari Tapak Pelupusan LTM," katanya.
Tambah beliau, dengan penghasilan sisa pepejal sebanyak 700 tan sehari dari tiga daerah terbabit, masyarakat diminta supaya mengambil pengajaran dengan mengamalkan kitar semula.
"Orang ramai yang mempunyai isu kutipan sisa pepejal di kawasan masing-masing boleh terus menghubungi syarikat konsesi di talian 1-800-88-7472 atau melalui Whatsapp SWM Environment di talian 0126180082," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!