Perjalanan 10 jam sampaikan pidato berbaloi
KOTA KINABALU - Perjalanan selama 10 jam dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu demi menyampaikan pidato pada pertandingan peringkat akhir tidak sia-sia apabila Floriana Mikayla Franky, 12, dinobatkan sebagai pemenang bagi kategori sekolah menengah pada Selasa.
Murid Tahun Enam dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Siew Ching, Lahad Datu berkata, dia tidak menyangka terpilih ke peringkat akhir memandangkan pada mulanya menyertai pertandingan itu sekadar ingin mencuba.
"Walaupun saya bersekolah di sekolah Cina, namun disebabkan memang fasih berbahasa Melayu, jadi tidak ada masalah untuk membaca teks pidato dan seterusnya menyampaikan kepada penonton," katanya ketika ditemui selepas pertandingan itu di Menara Kinabalu di sini.
Katanya, dia yang tiba dari Lahad Datu pada Isnin tidak menyangka sekolah mereka meraih kejayaan besar pada pertandingan itu selepas dinobatkan sebagai johan manakala seorang lagi rakannya mendapat tempat kedua dalam pertandingan sama.
"Bagi saya perjalanan kami selama 10 jam dari Lahad Datu ke Kota Kinabalu menerusi jalan darat berbaloi dan kami akan pulang dengan dua pingat yang diperoleh daripada pertandingan ini," katanya.
Seorang lagi johan bagi kategori Tingkatan Enam, Siti Khadijah Kamarudin, 18, berkata, penyertaannya dalam pertandingan itu walaupun dilakukan pada saat akhir, namun membawa kepada kejayaan yang tidak dijangka.
"Saya rakam video pada hari terakhir penyertaan sebelum ditutup dan hanya mengambil masa selama satu jam untuk menghafal teks ucapan terbabit.
"Tetapi saya tidak menyangka akhirnya saya dipanggil untuk ke peringkat akhir sebelum dinobatkan sebagai pemenang pada pertandingan ini," katanya yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahim, Kudat.
Katanya lagi, isi kandungan ucapan untuk pertandingan itu diambil menerusi pembacaannya melalui berita arus perdana dan banyak fakta berkaitan dengan tema pertandingan iaitu 'Keluarga Malaysia Teguh Bersama' diambil dari bahan berita yang dibaca.
"Teks ucapan ini saya cipta sendiri tetapi berdasarkan fakta yang diambil dari bahan berita yang dibaca dan saya tahu isu-isu semasa mengenai ekonomi dan sebagainya sangat dekat di hati rakyat Malaysia," katanya.
Sementara itu, Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Arifin Mohd Arif mencadangkan Sabah menjadi tuan rumah bagi menganjurkan pertandingan pidato peringkat kebangsaan berdasarkan penyertaan pada tahun ini yang dilihat mendapat sambutan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!