Suspek kes langgar lari direman empat hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki warga Indonesia berusia 27 tahun direman empat hari bagi membantu siasatan kes langgar lari, membabitkan kematian pegawai Jabatan Imigresen Malaysia di Kilometer 83.4 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara pada Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, suspek ditahan selepas menyerah diri di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda, pada 6.30 petang semalam.

"Siasatan awal mendapati suspek mendakwa terpaksa melarikan diri kerana tidak memiliki lesen memandu, selain takut dipukul orang awam.

"Suspek datang menyerah diri pada pukul 6.30 petang...perintah reman diperolehi selama empat hari bermula hari ini sehingga 9 September ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Zaidy berkata, semakan nombor pendaftaran kenderaan mendapati kereta Proton Wira dipandu suspek milik abang iparnya yang berada di Kuala Lumpur.

Katanya, suspek yang tinggal di Pokok Sena mempunyai dokumen perjalanan yang sah dan sudah tinggal di negara ini kira-kira tujuh tahun.

"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam kejadian pada 9.30 pagi Ahad, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Muhammad Nizam Samsudin, 46, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala, selepas motosikal ditunggangnya dirempuh sebuah kereta.

Artikel Berkaitan:

Rakannya, Timbalan Penolong Pengarah Imigresen Kanan, Zaili Nizam Muhammad, 43, yang menunggang motosikal berasingan, patah kaki selepas merempuh motosikal Muhammad Nizam yang terbabas. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!