Kes 1MDB: Had dua kad kredit Najib RM3 juta

Datuk Seri Najib Tun Razak.
Datuk Seri Najib Tun Razak.
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Naib Presiden Kanan Pengurusan Penipuan Perbankan Ambank memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa bahawa Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mempersoal isu had RM3 juta membabitkan dua kad kredit AmBank Visa Platinum dan Mastercard Platinum miliknya.

Saksi Pendakwaan Ke-35, Yeoh Eng Leong, berkata demikian semasa disoal oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Mohd Izhar dalam prosiding kes rasuah RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri itu.

Saksi berusia 61 tahun itu berkata, had itu merupakan antara yang tertinggi pernah diberikan oleh Ambank kepada pelanggannya.

Nadia: Kebiasaannya berapa limit bagi kad kredit?

Eng Leong: Purata dalam RM50,000 bagi setiap kad.

Nadia: Berapa had bagi kad milik Datuk Seri Najib?

Eng Leong: RM3 juta.

Nadia: Adakah itu yang tertinggi?

Artikel Berkaitan:

Eng Leong: Antara yang tertinggi.

Bagaimanapun, ketika menjawab soalan peguam, Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Najib, saksi ini berkata, pelanggan tidak boleh menentukan had kredit bagi sesebuah kad, sebaliknya ditetapkan oleh bank masing-masing.

Menurutnya, bank akan menawarkan had itu dengan mengambil kira pendapatan dan bukannya jawatan pelanggan.

Dalam pada itu, saksi ini turut ditunjukkan dengan penyata kad kredit Najib bermula 8 Ogos dengan tarikh akhir pembayaran pada 28 Ogos 2011.

“Terdapat beberapa transaksi di dua kedai aksesori mewah di Suria KLCC Kuala Lumpur berjumlah RM5,935 pada 21 Ogos 2011.

“Ada juga direkodkan pada tarikh sama, di Hotel The Westin Excelsior R Roma Itali berjumlah £22,461.62 atau RM98, 013.63.

Najib, 69, menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dalam dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan jumlah wang yang sama.

Ahli Parlimen Pekan itu didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bukit Ceylon di sini di antara 24 Februari 2011 dengan 19 Disember 2014 manakala bagi semua pertuduhan pengubahan haram di antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013, di lokasi sama.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (1) akta sama.

Bekas menteri kewangan itu berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda sehingga lima kali jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi, jika didapati bersalah.

Bagi 21 pertuduhan pengubahan wang haram, Najib didakwa melakukan kesalahan itu di bank sama, antara 22 Mac 2013 dengan 30 Ogos 2013.

Kesemua pertuduhan mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA), yang memperuntukkan denda maksimum RM 5 juta dan penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Rabu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!