Sedia bantu beri perlindungan kepada pelakon remaja: Idris

IDRIS. (Gambar dalam : Tangkap layar di facebook miliknya)
IDRIS. (Gambar dalam : Tangkap layar di facebook miliknya)
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Ahmad menyatakan kesediaan untuk membantu Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat memberi perlindungan kepada pelakon remaja yang mendedahkan perbuatan keji bapa kandungnya di khayalak umum sementara siasatan dijalankan terhadap gadis itu.

Sebagai seorang menteri katanya, beliau akan menggunakan autoriti yang ada bagi membantu sekiranya laporan polis sudah dibuat oleh mangsa.

"Aib keluarga perlu sangat untuk dijaga kerana usia gadis ini masih muda. Banyak lagi perkara yang bakal ditempuh dan laporan pada pihak berkuasa perlu dibuat agar masa depan insan teraniaya seperti ini dapat pembelaan sewajarnya.

"Aib dan jenayah adalah dua perkara yang berbeza, tapi terkait antara satu sama lain bila ianya dibicarakan dalam bab undang-undang, pasti Islam memberi ruang penyelesaian yang lebih tuntas.

"Negara kita punyai undang-undang. Kita perlu mendahului suatu perkara yang tepat untuk menatijahkan kebenaran," katanya menerusi hantaran di Facebooknya pada Selasa.

Sebelum ini Idris dilaporkan berkata, perbuatan mendedahkan sikap buruk dan aib bapa kandung oleh seorang pelakon remaja dalam sebuah program di YouTube baru-baru ini seharusnya tidak berlaku, malah ditegah dalam Islam.

Terdahulu pelakon remaja berusia 15 tahun itu membuat pendedahan tersebut ketika ditemu bual di 'Bros Gang TV' hingga menarik perhatian ramai.

Dakwa pelakon itu, bapanya pernah mengajak untuk menonton video lucah bersama dan mendakwa pernah beberapa kali diraba lelaki itu.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu Idris berharap pihak berkuasa terutamanya polis bertindak sewajarnya apabila kertas siasatan dibuka dan terbukti kebenaran atas setiap kesalahan yang dilakukan seperti didakwa pengadu.

"Saya telah menjawab respons dengan laporan polis perlu dibuat kerana ianya terkandung jenayah seksual yang diperuntukkan undang-undang yang berat bagi kesalahan yang dibuat.

"Saya lebih khuatir ancaman dan keselamatan gadis ini apabila mendedahkan perilaku ayahnya diumumkan dalam pentas yang terlalu terbuka.

"Kita tidak tahu implikasinya apatah lagi berhadapan dengan keganasan dan kewarasan seseorang manusia yang tidak terjangka," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!