Treler bawa enam kereta Honda baharu terbakar
REMBAU - Lima buah kenderaan baharu jenis Honda musnah selepas treler bersendi yang membawa muatan kenderaan berkenaan terbakar di Kilometer 227.2 Lebuh Raya Utara Selatan (arah Utara), dekat Pedas, di sini pada Selasa.
Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, kejadian jam 5.24 petang itu berlaku ketika treler berkenaan yang membawa enam kenderaan Honda dalam perjalanan dari kilang Honda menghala ke Pulau Pinang.
"Namun treler terbabit dipercayai tiba-tiba terbakar dipercayai berpunca daripada masalah teknikal brek yang menyebabkan lima kereta Honda dibawa terbakar hampir keseluruhan dan satu lagi hanya 10 peratus.
"Pemandunya berusia 31 tahun selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam kenyataan kepada media pada Selasa.
Menurutnya, kejadian itu menyebabkan berlaku kesesakan jalan raya sepanjang tiga kilometer apabila kesemua lorong terpaksa ditutup bagi operasi memadam kebakaran oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!