'Saya sangat lega tiada kecederaan serius'
BERITA melegakan buat peminat badminton negara apabila kecederaan yang dialami pemain beregu wanita negara, Pearly Tan tidak serius seperti yang disangkakan.
Pearly memberitahu, hasil keputusan Imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) mendapati dirinya hanya cedera di bahagian hamstring dan tendon lutut.
“Saya berasa sangat lega sebenarnya kerana tiada kecederaan serius berlaku di bahagian lutut, cuma ada kecederaan di bahagian hamstring dan tendon lutut.
“Bagaimanapun kecederaan memerlukan saya berehat untuk seketika waktu. Jadi saya akan guna masa ini untuk memulihkan kembali hamstring dan tendon yang cedera,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.
Sebelum ini, pemain berusia 22 tahun itu mengalami kecederaan ketika dia dan gandingannya, M Thinaah berdepan wakil Korea Selatan, Baek Ha Na-Le Yu Lim dalam pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Jepun minggu lalu.
Pasangan negara itu terpaksa menarik diri dalam set ketiga selepas Pearly kelihatan mengalami kecederaan lutut serius.
Sebagai rekod, ini merupakan kali pertama Pearly mengalami kecederaan sebegitu dan bersedia memberikan tumpuan penuh terhadap proses pemulihannya.
Pearly turut mengimbas insiden itu ketika beraksi menentang pasangan dari Korea Selatan berkenaan.
“Sebenarnya, ketika di kedudukan 14-12, sewaktu saya melakukan lompatan, saya mendarat dalam keadaan yang tidak betul, jadi ia memberikan saya kesakitan sehingga tidak dapat bergerak dengan selesa dalam gelanggang,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!