Atlet Selangor cemerlang terima insentif

Tengku Amir Shah (tengah) bersama para atlet negara yang juga atlet Selangor pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Selangor di Hanoi 2021 dan Birmingham 2022 di Istana Alam Shah Klang pada Rabu. - Foto Bernama
Tengku Amir Shah (tengah) bersama para atlet negara yang juga atlet Selangor pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Atlet Selangor di Hanoi 2021 dan Birmingham 2022 di Istana Alam Shah Klang pada Rabu. - Foto Bernama
A
A
A

SERAMAI 28 atlet Selangor menerima insentif kemenangan berjumlah RM92,900 susulan pencapaian cemerlang di Sukan SEA Hanoi 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.

Insentif itu disampaikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Istana Alam Shah, Klang yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.

Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor memperuntuk pemberian insentif sebanyak RM59,900 bagi Sukan SEA Hanoi 2021 dan RM33,000 bagi Sukan Komanwel Birmingham 2022 sebagai menghargai jasa serta penglibatan penggiat sukan di Selangor.

Pemain beregu badminton wanita, M Thinaah merupakan penerima insentif terbesar yang menyaksikan beliau membawa pulang RM22,000 selepas menyumbang dua pingat emas Birmingham 2022.

Sementara itu, atlet kelahiran Klang tersebut berkata, insentif tersebut sedikit sebanyak memberi semangat kepadanya untuk terus berlatih bagi menghadapi perlawanan akan datang.

"Sumbangan ini juga merupakan motivasi untuk atlet Selangor dan kami amat gembira serta menghargai insentif ini," katanya kepada media.

Menurutnya, beliau kini gigih berlatih untuk Terbuka Denmark dan Perancis pada bulan depan manakala pasangan beregunya, Pearly Tan masih dalam tempoh pemulihan akibat kecederaan yang dijangka mengambil masa empat hingga enam minggu.

"Apapun kita akan tumpukan kepada pemulihan Pearly buat masa ini kerana itu yang lebih penting daripada mana-mana kejohanan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagi atlet lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli, insentif itu dapat memberi motivasi kepada atlet untuk terus berjuang dalam industri sukan dan mencapai prestasi lebih baik.

"Insentif ini juga akan menyuntik semangat rakan-rakan atlet yang masih di bawah dan akan berusaha untuk mencapai kemenangan di kejohanan akan datang," katanya yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA ke-31.

Menurutnya, pada tahun ini, beliau memberi tumpuan pada sesi latihan bagi menghadapi pelbagai kejohanan termasuk Sukan SEA, Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia bermula Mei 2023. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!