Apa nasib kami hidup di bandar?

Gerai pisang goreng Siti Normadina yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.
Gerai pisang goreng Siti Normadina yang terletak di Cheras, Kuala Lumpur.
A
A
A

MALAYSIA kini sedang berdepan dengan krisis peningkatan kos sara hidup yang tinggi akibat ketidakstabilan ekonomi yang melanda dunia.

Kenaikan kos sara hidup amat menghimpit masyarakat pada hari ini, apatah lagi peningkatan itu tidak selari dengan pendapatan yang diperolehi bagi kebanyakan isi rumah.

Ramai yang terpaksa mengikat perut dan mengehadkan perbelanjaan harian kerana kenaikan harga barang.

Ikuti laporan wartawan Sinar Harian, Nur Iftitah Rozlan. bagi mendengar keluhan yang membelenggu penduduk terutama yang menetap di bandar-bandar besar.

“Makan terpaksa berjimat, kalau ada telur atau kicap di rumah, makan itu sajalah.”

Itu antara luahan seorang penduduk di sekitar Shah Alam, Selangor, Noor Haniza Che Hussin, 38, yang mengakui amat terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Noor Haniza menganggap kehidupan di bandar besar itu semakin mencabar ekoran terpaksa menampung kos sara hidup yang lebih tinggi.

Lebih perit, wanita berasal dari Kelantan itu terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga berikutan suaminya, Saharimi Othman, 48, tidak dapat lagi bekerja kerana menderita kencing manis, semput kronik dan darah tinggi.

Artikel Berkaitan:

“Saya bersungguh-sungguh mencari duit (untuk menyara) hidup di bandar sebab hanya saya seorang yang bekerja. Suami tidak dapat bekerja lagi di kilang lamanya atas faktor kesihatan.

“Selain menjadi jurujual minyak wangi, saya juga berniaga pelbagai jenis barangan seperti barang kosmetik, makanan dan emas. Apa-apa sahaja yang boleh mendatangkan duit, saya buat,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Bagi peniaga pisang goreng, Siti Normadina Baharin, 38, peningkatan harga barangan asas ketika ini amat memberi kesan terhadap perniagaannya.

Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, pemansuhan subsidi barangan asas turut menjejaskan operasi perniagaan dan keuntungannya.

“Misalnya dulu dengan bermodalkan RM100 sehari, biasanya saya boleh simpan RM20, tetapi dengan ekonomi sekarang, saya hanya boleh simpan RM5 saja.

“Barangan asas seperti minyak masak, tepung, malah pisang pun dah naik harga. Sebelum ini, pisang nipah (abu) dijual RM1.80 sehingga RM2.00 setandan atau 1 kilogram (kg), tapi sekarang naik kepada RM2.60 hingga RM3 setandan,” ujarnya.

Tambah Siti Normadina, dia adakalanya akan berpuasa sebagai langkah untuk berjimat cermat.

“Ada masa saya berpuasa untuk kurangkan belanja, manakala anak-anak saya ajar untuk bawa bekal (makanan) supaya tidak membazir,” katanya yang sudah berniaga pisang selama lapan tahun di sekitar Cheras, Kuala Lumpur.

Sementara itu, Latipah Zolkafli, 46, berkata, meskipun menerima zakat penambahan bulanan, bantuan yang diterima hanya cukup-cukup makan untuk dirinya dan suami menyara lapan cahaya mata mereka.

“Kos sara hidup naik mendadak dari semua segi baik perkhidmatan atau makanan. Tapi gaji pekerja golongan berpendapatan rendah (B40) hanya naik sedikit, tidak selari dengan kenaikan harga barang.

“Dulu, bahan basah kami perlu keluarkan sekitar RM200 sebulan, sekarang dah naik tiga kali ganda. Bahan kering pula, sebelum ini RM300 sebulan, tapi sekarang jadi RM600, tidak termasuk bahan sekolah anak-anak.

“Untuk teruskan kehidupan, kami hanya makan ala kadar, pakai dan guna barang-barang yang sedia ada sebaik mungkin,” kata suri rumah itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!