KL City tekad lakar sejarah baharu

Para pemain KL City FC tekad meraih kemenangan ke atas Mohun Bagan dalam aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon di Stadium Salt Lake, Kolkata, India pada Rabu.
Para pemain KL City FC tekad meraih kemenangan ke atas Mohun Bagan dalam aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon di Stadium Salt Lake, Kolkata, India pada Rabu.
A
A
A

SELEPAS dinobatkan sebagai ‘Raja ASEAN’ dalam saingan Piala AFC musim ini, Kuala Lumpur (KL) City FC tidak mahu sejarah gemilang itu terhenti separuh jalan.

Sebaliknya, pengendali KL City FC, Bojan Hodak mahu melakar lebih banyak kejutan apabila mahu mencipta kemenangan ketika bertemu pasukan dari India, ATK Mohun Bagan dalam aksi separuh akhir Piala AFC Antara Zon di Stadium Salt Lake, Kolkata, India pada Rabu ini.

Bojan mengakui ia bukan satu tugas mudah menentang wakil India itu, namun berbekalkan keputusan positif diraih skuadnya dalam beberapa perlawanan sebelum ini, beliau yakin pasukannya mampu untuk mara ke pusingan akhir Antara Zon Piala AFC.

“Kami akan turun dengan keyakinan tinggi untuk menang. Bagaimanapun menentang Mohun Bagan sudah tentu bukan satu tugas mudah dan saya menjangkakan aksi tersebut bakal berlangsung sengit.

“Bagaimanapun saya percaya pasukan ini mampu melakukan kejutan memandangkan kesemua pemain berada dalam keadaan terbaik apabila berjaya mencatat keputusan positif dalam tiga perlawanan lalu.

“Malah dalam saingan Piala AFC musim ini, kami berjaya mengekalkan rekod tanpa kalah apabila menang dua dan seri satu daripada tiga perlawanan terakhir. Jadi saya berharap semua pemain berada dalam keadaan baik dan sentiasa bersedia sekiranya mereka diperlukan,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau turut mengesahkan tiga pemain utama, Jordan Mintah, Romel Morales dan Zhafri Yahya yang direhatkan ketika menentang Sabah tempoh hari cergas untuk diturunkan pada perlawanan separuh akhir tersebut.

Bagaimanapun, beliau perlu melihat prestasi mereka terlebih dahulu sebelum membuat keputusan sama ada pemain-pemain itu akan disenaraikan dalam kesebelasan utama atau diletakkan di bangku simpanan.

Artikel Berkaitan:

“Saya lega kerana semua pemain yang dibawa ke sini bebas daripada sebarang kecederaan. Malah tiga pemain yang tidak diturunkan ketika menentang Sabah iaitu Jordan, Romel dan Zhafri cergas untuk bermain pada aksi ini.

“Namun untuk tiga pemain ini, saya dan barisan kejurulatihan perlu melakukan beberapa ujian kepada mereka sebelum membuat keputusan sama ada mahu membenarkan mereka bermain sepenuh masa atau sebaliknya,” ujarnya beliau.

Sebelum ini, skuad The City Boys melakar sejarah mara ke saingan Antara Zon buat pertama kali selepas mudah menjinakkan kelab Indonesia, PSM Makassar 5-2.

Jika anak buah Hodak menang ke atas Mohun Bagan itu, KL City akan menempah tiket ke pentas final Antara Zon untuk berdepan sama ada wakil dari Uzbekistan, FC Sogdiana Jizzakh atau Eastern SC dari Hong Kong.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!