MTCC bantu tingkat populasi Harimau Malaya
KUANTAN - Penubuhan Pusat Konservasi Harimau Malaya (MTCC) Negeri Pahang di Lanchang, Temerloh antara usaha kerajaan negeri bagi melindungi populasi haiwan itu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MTCC merupakan satu-satunya pusat konservasi khas untuk Harimau Malaya di negara ini.
Menurutnya, pusat itu mula beroperasi Februari lalu dengan peranannya membantu meningkatkan pembiakan dan meliarkan harimau sebelum dilepaskan ke habitat semula jadi.
"Pusat konservasi seluas 80 hektar itu dibina dengan kos lebih RM42 juta melalui peruntukan daripada kerajaan Persekutuan.
"Pembinaannya selaras dengan Kempen Selamatkan Harimau Malaya (SHM) yang sedang digiatkan kerajaan," katanya melalui kenyataan di Facebooknya pada Rabu.
Wan Rosdy sebelum ini mengiringi keberangkatan Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ke pusat konservasi itu pada Selasa.
Beliau berkata, Harimau Malaya termasuk dalam spesies hidupan liar yang terancam dan pelbagai usaha telah dijalankan untuk mengelak kepupusan seperti berlaku kepada badak sumbu.
"Salah satu usaha diambil kerajaan negeri Pahang adalah menerusi penubuhan MTCC ini.
"Melalui penubuhan MTCC Pahang ini diharap dapat melindungi populasi dan membantu usaha pembiakan spesies terancam ini," katanya.
Tambah beliau, populasi haiwan itu kini kurang 150 ekor di seluruh semenanjung.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!