Muda Perak positif kerjasama dengan PH

Mutalib
Mutalib
A
A
A

IPOH - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) Perak akan mengadakan pertemuan dengan beberapa pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP di negeri ini bagi menjalin hubungan lebih erat bersama Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Muda Perak, Mutalib Uthman berkata, sebelum ini beberapa pertemuan secara tidak rasmi dibuat bersama pemimpin PH Perak antaranya Ketua Pembangkang, Dr Abdul Aziz Bari dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Pinji, Howard Lee Chuan How.

Menurutnya, pertemuan itu bagaimanapun bertujuan memaklumkan kepada pemimpin berkenaan mengenai keberadaan Muda di Perak.

"Muda Perak sedang menyusun beberapa pertemuan dengan pimpinan PKR, DAP dan Amanah di peringkat negeri Perak.

"Kita berharap segala pertemuan dapat memberi impak yang positif," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Sementara itu mengenai kerusi yang mahu ditandingi di Perak, Mutalib berkata, Muda berhasrat untuk bertanding di kerusi Parlimen yang disandang oleh BN dan Perikatan Nasional.

Menurutnya, bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, Muda Perak sedang mengenal pasti beberapa kerusi berpotensi walaupun tidak banyak.

Beliau berkata, pasukan pilihan rayanya sudah bersiap siaga untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) jika diadakan pada bila-bila masa.

Artikel Berkaitan:

"Program Muda Perak Bergerak sudah berjalan hampir dua bulan. Kita menjelajah dari Pasir Salak hingga Bagan Datuk.

"Jelajah akan disambung lagi ke kawasan utara, dari Bukit Gantang, Larut sampai ke Bagan Serai. Kemudian kita akan sambung dari Padang Rengas ke Lenggong dan Gerik," katanya.

Pada Selasa, parti itu melalui Persidangan Pilihan Raya Muda sebulat suara bersetuju untuk menyertai PH sebagai salah satu parti komponen dalam gabungan itu.

Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, justeru pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan secara rasmi dengan Majlis Presiden PH berhubung perkara itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!