Ons Jabeur pahat sejarah di Terbuka AS

Jabeur membawa semangat Wimbledon untuk mara ke pentas final Terbuka AS. - Foto Agensi
Jabeur membawa semangat Wimbledon untuk mara ke pentas final Terbuka AS. - Foto Agensi
A
A
A

SEJARAH tercatat buat pemain sensasi, Ons Jabeur apabila menjadi wanita Afrika pertama mara ke separuh akhir Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas menang straight set ke atas Ajla Tomljanovic di New York pada Rabu.

Pada Julai lalu, pemain Tunisia itu menjadi wanita pertama dari Afrika mara ke final Wimbledon, namun dikecewakan oleh pemain dari Kazakhstan, Elena Rybakina apabila tewas 3-6, 6-2, 6-2.

Pemain berusia 28 tahun itu mara ke separuh akhir selepas menewaskan atlet dari Australia tersebut dengan keputusan 6-4, 7-6 (7/4) pada aksi yang berlangsung di Stadium Arthur Ashe.

Jabeur akan menentang pilihan ke-12, Coco Gauff atau pilihan ke-17 dari Perancis, Caroline Garcia pada aksi separuh akhir nanti.

Tomljanovic mara ke suku akhir selepas mempamerkan aksi padu menyingkirkan Serena Williams pada pusingan ketiga yang mungkin menjadi perlawanan terakhir buat juara Grand Slam sebanyak 23 kali itu sebelum bersara.

Jabeur berkata, dia mendapat keyakinan selepas mara ke final Wimbledon dan berharap kejayaannya akan memberi inspirasi kepada generasi akan datang khususnya pemain tenis wanita dari Afrika.

“Ia sangat bermakna. Saya lebih percaya pada diri sendiri.

“Selepas Wimbledon ia sangat positif. Walaupun tewas pada perlawanan akhir, namun saya mampu untuk menang Grand Slam. Di sini saya berada di separuh akhir Terbuka AS,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!