Banjir Iboi: Mangsa minta benteng lebih kukuh dibina
BALING - Mangsa banjir di Kampung Iboi memohon benteng yang lebih kukuh dibina di sepanjang Sungai Kupang sebagai usaha membantu mengelakkan bencana itu berulang.
Seorang mangsa, Abd Rahman Ahmad, 70, berkata, ini merupakan kali ketiga banjir berlaku di kampung tersebut dan dia mengharapkan tindakan baik pulih segera dilakukan oleh pihak terlibat memandangkan mangsa kini sudah trauma terhadap bencana alam itu.
Menurutnya, kebimbangan penduduk berdepan bencana itu sejak kali pertama kejadian kepala air, kini menjadi kenyataan apabila sekali lagi terpaksa menghadapi banjir lumpur.
"Kami masih dalam proses pemulihan. Hendak pergi ke mana jika kami mahu pindah? Kami perlu fikir banyak kali jika mahu berpindah tetapi kalau boleh memang hendak duduk di sini.
"Jadi, kami minta kerajaan buat benteng lebih elok dan kukuh di sepanjang sungai. Kami bimbang mengenai sesuatu mungkin berlaku kalau hujan lebat," kata warga emas itu.
Jarak antara rumahnya dan tebing sungai hanya kira-kira 100 meter.
Menurut Abd Rahman, beberapa buah rumah jirannya yang berada di tebing sungai sebelum ini telah hanyut dalam kejadian kepala air.
Dalam kejadian kepala air lalu, Abd Rahman pula kerugian mencecah RM300,000 apabila barangan di kedai, perabot, kereta dan motosikal miliknya hanyut.
Selain itu, seorang lagi mangsa Abd Rahman Said, 71, berkata, kajian semula terhadap kesan kepala air perlu dibuat memandangkan sudah kali ketiga banjir melanda Kampung Iboi.
"Pihak berwajib perlu membuat kajian secara terperinci mengenai banjir yang berulang melanda kampung ini," katanya.
Dalam kejadian kepala air pada 4 Julai lalu, tiga mangsa terkorban setelah rumah mereka dihanyutkan arus deras di Kampung Iboi.
Kejadian banjir berulang pada 28 Julai lalu di lokasi sama menyebabkan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai, terpaksa berpindah.
Sementara itu, Ibrahim Abdul, 69, berkata, melihat keadaan rumah penduduk yang sudah tiga kali dilanda banjir, dia bersama rakannya datang membantu sejak jam 8 pagi.
"Kami membantu mencuci rumah penduduk sejak pagi. Bagaimanapun masih banyak perlu dicuci memandangkan hampir kesemua rumah mereka ditenggelami air lumpur.
"Kami kena buang selut dulu dan kerja-kerja ini memerlukan tenaga dan peralatan. Selepas itu baru boleh bersihkan menggunakan pam air bertekanan tinggi. Masalah kami hadapi sekarang, bekalan air pula terputus," katanya.
Justeru Ibrahim mengharapkan kerajaan memberi perhatian serius terhadap kesan dan trauma dihadapi semua mangsa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!