Pertandingan North Wall 1.0
A
A
A
Pertandingan yang julung kalinya dianjurkan pada 28 Ogos lalu itu, berjaya mengumpul seramai 68 orang peserta, 34 pasukan termasuk enam peserta dari luar negara. Sebanyak 20 laluan (route) dibuka dengan 20 tali disediakan untuk para pendaki manakala tempoh yang diberikan adalah selama empat jam bermula 9.30 pagi hingga 1.30 tengahari. Menurut Pengarah Urusan Hermission Sdn Bhd, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa, pertandingan Rock Climbing ini cuma terbuka kepada para pendaki yang belum pernah memenangi sebarang pertandingan dan tidak mempunyai kedudukan dalam Malaysia ranking.
"Setiap pasukan mesti berpasangan iaitu Pendaki dan Penjaga Tali (Climb dan Belayer) dan mereka perlu bertanding menghabiskan kesemua laluan dan mendapatkan 'top' (puncak) yang paling banyak dengan mencatatkan masa yang paling pantas. Untuk program kali pertama ini, kita mempunyai penyertaan pasukan wanita termuda berumur 10 dan 11 tahun dan seorang peserta paling tua dari Sarawak berumur 56 tahun," katanya.
Terdapat tiga kategori yang dipertandingkan iaitu campuran wanita dan lelaki, wanita dan wanita dan lelaki dan lelaki serta kategori woman rangking yang dipertandingkan dalam North Wall 1.0 anjuran Hermission Sdn Bhd dengan kerjasama teknikal Persatuan Mendaki Negeri Perlis.
Menurutnya lagi, selain bertanding peserta juga boleh menikmati keindahan Bukit Batu Kapur yang mempunyai batuan berusia lebih 228 juta tahun yang juga digazetkan sebagai GeoTapak Bukit Keteri. Laluan yang diteroka sejak tahun 2007 ini, mempunyai kira-kira 50 laluan berbatu dan antara laluan pendakian paling sukar di Asia tenggara dimana tahap kesukaran dilabelkan antara 4 hingga 9.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!