Berhati-hati dengan telunjuk lurus

A
A
A

BERKATA orang-orang tua bijaksana dahulu, kayu bengkok, masakan lurus bayangannya adalah satu perkara yang kita perlu fikirkan juga. Secara zahirnya, kita selalu melihat bayang-bayang. Bermacam-macam jenis bayang yang ada.

Ada bayang kita sendiri, bayang pokok, bayang benda-benda tetapi tidak terfikir pula kita hendak mengambil iktibar ataupun maksud tersirat di sebaliknya seperti sifat orang tua-tua bijaksana dahulu kala.

Kita hanya melihat sepintas lalu tanpa ingin menyelami maksudnya seperti apa yang dimaksudkan oleh peribahasa di atas. Maka maksudnya yang boleh kita ambil iktibar tidak akan memberi apa-apa makna.

Maksud peribahasa di atas ialah, janganlah kita mereka-reka cerita. Kerana orang sudah tidak percayakan kita lagi jika sebelum ini kita pernah berbohong. Dahulu jika kita seorang yang suka cakap bohong, yang dimaksudkan dalam peribahasa di atas ialah sebagai kayu yang bengkok. Dan kayu yang bengkok akan menghasilkan bayang yang juga bengkok bermakna kita mungkin akan bercakap bohong lagi.

Sekali berbohong, seribu kali orang tidak akan percaya kepada kita lagi. Dan yang lebih parah pula sudahlah kita berbohong, dan tidak mahu mengaku berbohong, sebaliknya menyalahkan orang lain pula supaya pembohongan kita itu dipercayai oleh orang lain.

Baru-baru ini seorang kawan ada beritahu saya, yang dia telah diberi surat amaran kerja kerana tidak menjalankan amanah dengan betul. Dia menafikan kesalahan itu. Katanya, apa yang dia buat itu betul dan tidak menyalahi apa-apa pun.

Apabila diberitahu kesalahan yang dibuat itu ada termaktub dalam surat tawaran kerja yang sepatutnya dia patuhi, maka dia mula menyalahkan orang lain pula. Memang kenalah dengan peribahasa di atas, yang diberi makna oleh orang tua bijaksana kita dahulu kala. Kalau dah pernah berbohong dan apabila hendak menyelamatkan diri maka disalahkan orang lain pula. Hebatnya peribahasa orang tua-tua dahulu kala.

Oleh itu kita sebagai manusia hendaklah selalu bermuhasabah diri, merenung tentang apa yang telah kita lakukan. Cara yang boleh kita lakukan adalah dengan sentiasa mencatat apa yang kita lakukan seharian dalam pekerjaan dan pergaulan.

Artikel Berkaitan:

Selepas menjelang malam, maka kita bukalah buku catatan tersebut untuk merenung apa yang telah kita lakukan, percakapan, layanan dan juga pergaulan kita sepanjang hari tersebut.

Jika dalam catatan kita merasakan ada kesalahan yang dilakukan, maka hendaklah kita bertaubat.

Dan juga jika dalam catatan itu ada perkara yang kita lakukan memerlukan permohonan maaf atau memperbaiki perilaku, maka hendaklah kita cepat-cepat mengambil tindakan. Insya-ALLAH selamat kita.

Ibnu Arabi ada menyebut tatacara kita hendak bermuhasabah atau merenung diri. Kata beliau:

“Guru-guruku sentiasa menghitung apa yang mereka kata dan buat dan merakam segalanya pada buku catatan. Setelah solat Isyak, maka mereka akan mengurung diri dan bermuhasabah diri dengan menelaah perbuatan dan ucapan mereka sepanjang hari sebelumnya. Lalu mereka akan mengubahnya jika perlu diubah. Jika pula perbuatan mereka itu perlu kepada memohon ampun, maka mereka akan memohon ampun dan jika perlu kepada taubat maka mereka akan bertaubat. Tetapi aku pula melakukan lebih daripada itu. Aku bukan sahaja merakam akan perbuatan dan percakapanku. Tetapi apa yang terlintas dalam hatiku juga aku rakam dan catat supaya dapat aku menelaahnya pada malam hari."

Begitulah kata Ibnu Arabi yang mungkin susah juga kita hendak mengikutnya, terutama mencatat apa yang terlintas di hati.

Selain itu, janganlah kita menyombong diri. Bila sudah tahu akan kesilapan, buanglah sifat sombong. Ia adalah sifat tercela. Sifat sombong yang tidak dibuang jauh akan merosakkan diri.

Seperti kata peribahasa Melayu lama, ‘hendak sombong berbini banyak, hendak megah berlawan lebih.’ Peribahasa ini juga memberi maksud, kerana hendak tunjukkan kita ini hebat, hendak meninggi diri maka kita akan hidup dalam kesusahan.

Satu lagi peribahasa yang juga ada kaitan dengan sifat sombong iaitu ‘tak berpucuk di atas enau.’ Maksudnya bila dah sombong akan terhasillah sifat lain pula iaitu memandang rendah kepada orang.

Akhir kata berhati-hati juga dengan maksud peribahasa ini, telunjuk lurus, tetapi kelengkeng pula berkait.

*Faisal Muhammad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!