Trauma usahakan kebun sawit

Tanaman penduduk Kampung Mawai Baru yang dirosakkan gajah. ( Gambar kecil: Shamsi)
Tanaman penduduk Kampung Mawai Baru yang dirosakkan gajah. ( Gambar kecil: Shamsi)
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pekebun di Kampung Mawai Baru, di sini, trauma untuk mengusahakan kembali kebun sawit miliknya selepas sering mengalami kerugian akibat ancaman gajah liar.

Shamsi Lamot, 69, berkata, sepanjang 12 tahun mengusahakan kebun itu sudah lebih 10 kali dia terpaksa menanam semula di antara pokok sedia ada kerana dirosakkan haiwan berkenaan.

Menurutnya, kerosakan pertama akibat gajah bermula pada empat tahun pertama dia mengusahakan kebun sawit seluas enam ekar.

"Masa tu pokok baru nak berbuah tapi jadi padang jarak padang tekukur akibat dirosakkan gajah. Pokok yang tak rosak hanya dua ekar manakala selebihnya tinggal saki baki.

"Kalau nak dikira kerugian lebih puluhan ribu saya habis kerana serangan gajah ini. Kini, kebun tersebut saya biarkan semak samun sahaja," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, sudah masuk sembilan bulan dia tidak mengusahakan ladangnya itu kerana hasil diperoleh tidak berbaloi.

"Kebun tersebut saya usahakan bermodalkan hasil duit insurans kemalangan yang saya pernah terima.

"Setiap kali nak tanam semula saya perlukan RM1,000 hingga RM2,000,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Shamsi berkata, dia juga pernah berdepan pengalaman didatangi gajah di kawasan rumahnya.

"Masa tu gajah tersebut berada di luar beranda rumah dan siap menyembur air ke dalam rumah kami dengan belalainya.

"Pokok pisang yang ditanam di belakang rumah turut habis dirosakkan gajah tersebut,"katanya.

Penduduk lain, Zamhizul Ariffin Muhideen, 35, berkata, ancaman gajah hanya boleh diselesaikan dengan dua cara iaitu sama ada memindahkan haiwan berkenaan atau penduduk yang keluar dari kampung.

"Penduduk tidak boleh berbuat apa-apa selagi tiada penyelesaian sebenar.

"Santuari gajah yang sedang dibangunkan kita harap benar-benar berkesan dalam mengatasi masalah ini," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!