Bekalan air keruh di Hospital Machang selesai berperingkat
KOTA BHARU - Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) mengesahkan gangguan bekalan air keruh yang berlaku di Hospital Machang Isnin lalu sudah kembali pulih.
Isu itu tular di laman sosial Facebook pada Selasa selepas seorang wanita berkongsi gambar air berkarat di dalam tandas wad kanak-kanak hospital tersebut sekali gus didakwa mengganggu urusan harian pesakit dan pelawat.
Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, masalah itu selesai susulan syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sudah menghantar bekalan air ke hospital bagi mengatasi masalah gangguan itu secara berperingkat bermula petang Selasa dengan mengisi air di tangki simpanan utama hospital itu.
"Bekalan (air) sudah kembali pulih pada petang Selasa secara berperingkat. Kadar kekeruhan air juga semakin pulih.
"Hasil siasatan awal mendapati gangguan air itu berlaku pada Isnin hingga Selasa berpunca daripada masalah Loji Rawatan Air Sungai Bagan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Beliau berkata, JKNK kesal atas kesulitan yang dihadapi dan berterima kasih dengan tindakan segera diambil oleh pihak hospital, Perkhidmatan Sokongan Hospital (Redicara) dan AKSB.
Katanya, JKNK sentiasa berusaha dan mengambil langkah-langkah penambahbaikan bagi meningkatkan keselesaan dan kualiti penjagaan pesakit.
"JKNK menegaskan bahawa perkhidmatan dan pengurusan pesakit di dalam hospital itu tidak terganggu akibat kejadian tersebut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!