Percepat fasa kedua santuari gajah: ADUN Sedili
KOTA TINGGI - Fasa kedua pembinaan santuari gajah perlu dipercepatkan agar isu ancaman gajah yang berlaku di daerah ini dapat diselesaikan segera.
ADUN Sedili, Rasman Ithnain berkata, fasa kedua adalah bahagian penting yang dapat menyelesaikan isu konflik gajah yang berlaku pada masa ini.
Katanya, fasa kedua melibatkan peralatan pengumpulan gajah-gajah yang dan fasa inilah yang dapat menyelesaikan isu ancaman haiwan ini.
"Kerajaan negeri tidak perlu menunggu sehingga projek fasa pertama selesai baru hendak membuka tender bagi fasa kedua.
"Kalau boleh segerakan dan jangan tangguh lagi,"katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, jika dilihat pada fasa pertama sahaja sudah ia melibatkan kelewatan, sekali gus melewatkan usaha untuk menyelesaikan isu gajah itu.
"Fasa kedua kerajaan tidak boleh bertangguh lagi sebaliknya terus dijalankan agar tiada lagi kes gajah mengganas.
"Isu ancaman gajah yang berlaku di kawasan saya kini bukan lagi menjadi isu tahunan bahkan sudah menjadi isu bulanan yang terpaksa dihadapi penduduk," katanya.
Rasman berkata, beliau berpendapat haiwan itu memasuki kawasan kampung kerana masalah kekurangan makanan.
"Penduduk, terutamanya petani kini takut untuk tanam semula tanaman mereka gara-gara gajah.
"Mereka tahu jika mereka buat penanaman semula pasti rugi,"katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!