PRU15: Blogger CMK bakal bertanding tiga DUN di Pahang
KUANTAN - Blogger kontroversi, Mohd Shukri Mohd Ramli atau lebih dikenali dengan gelaran Cucu Mat Kilau (CMK) mendedahkan akan bertanding di tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pahang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Beliau berkata, keputusan untuk bertanding pada PRU15 bukan lagi atas tiket calon Bebas, sebaliknya mewakili parti politik yang mempunyai jentera kuat.
Menurutnya, beberapa tawaran sudah diterima daripada parti politik seperti Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Gerakan Tanah Air (GTA) serta Parti Rakyat Malaysia untuk menjadi calon kerana mereka tidak mempunyai calon berwibawa.
"Ada lima kapal (parti) yang boleh saya tumpang, sudah pastinya kapal yang ingin saya tumpang menuju ke pulau (kawasan) yang selamat. Saya tidak boleh tumpang kapal yang sudah bocor, nakhoda ada dua tiga sebab haluan bercelaru.
"Saya kena buat pilihan tepat dalam masa terdekat. Selepas itu, saya akan dibawa untuk berjumpa kepimpinan parti yang telah dipilih dan mereka bawa usul ini ke dalam mesyuarat negeri untuk buat ketetapan," katanya ketika sidang akhbar di Kuantan pada Khamis.
Mohd Shukri sebelum ini adalah ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum mengumumkan keluar daripada parti itu pada Februari 2011.
Beliau pernah bertanding pada PRU12 di kerusi DUN Kemayan dalam Parlimen Bera; kerusi DUN Semambu (Parlimen Indera Mahkota) pada PRU13 dan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Chini pada tahun 2020.
Mohd Shukri berkata, beliau sedang memilih kerusi bakal ditandingi dalam PRU15 akan datang seperti yang ditawarkan.
Katanya, lima tawaran kerusi DUN antaranya Chenor, Pulau Tawar, Teruntum, Semambu dan Pulau Manis, namun sasarannya adalah kerusi DUN Teruntum, DUN Semambu dan DUN Pulau Manis.
“Saya pilih tiga kerusi DUN di Parlimen Kuantan dan Pekan ini sebab lebih mudah hendak suarakan masalah rakyat Pahang, tapi kalau ditawarkan juga (bertanding) kerusi Parlimen, saya tidak menolak.
"Konsep saya tidak mahu kacau rumah tangga yang sudah ada, tetapi jika pemimpin atas bersungguh untuk saya bertanding kerusi Parlimen saya menerimanya," ujar beliau.
Ditanya kenapa tidak menyertai Pejuang dan GTA, Mohd Shukri berkata, keputusan muktamad menyertai mana-mana parti masih belum dibuat, jadi beliau bebas mempertimbangkan gabungan mana paling sesuai dengan agenda perjuangannya.
“Saya ada bertemu dengan (Datuk Seri) Mukhriz Mahathir (Presiden Pejuang) dan (Datuk Dr) Ibrahim Ali (Presiden Putra) baru-baru ini, dan mereka ada mempelawa saya bersama mereka.
“Kemungkinan itu masih ada, tapi semua pilihan masih di atas meja dan bila sampai masa, saya akan umum,” tegas Mohd Shukri.
Dalam pada itu, Mohd Shukri turut membayangkan untuk bersara dari dunia politik jika tewas dalam PRU15.
“Ini adalah percubaan terakhir saya, jika kalah juga, maknanya saya sudah ‘tak laku’ dan bolehlah saya tumpukan kepada kerja lain.
“Sejak terbabit dalam politik pada tahun 1998, saya tidak pernah menyesal dalam memperjuangkan nasib rakyat serta isu alam sekitar.
“Tahun ini agak mencabar bagi saya kerana disaman RM1 juta oleh kerajaan Pahang akibat pendedahan saya buat berkaitan isu banjir di sekitar Bentong hujung tahun lalu,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!