Imbuhan khas untuk skuad Penyu jika menang Piala FA

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar bersama pemain dan pengurusan Terengganu FC (TFC) pada majlis pelepasan Pasukan TFC bagi perlawanan akhir Piala FA 2022 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada Khamis.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar (tengah) bergambar bersama pemain dan pengurusan Terengganu FC (TFC) pada majlis pelepasan Pasukan TFC bagi perlawanan akhir Piala FA 2022 di Lapangan Terbang Sultan Mahmud pada Khamis.
A
A
A

KERAJAAN Terengganu menyediakan imbuhan khas untuk pasukan Terengganu FC (TFC) sekiranya berjaya menjulang Piala FA Sabtu ini.

Berita gembira itu diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang menaruh harapan tinggi agar skuad Penyu berjaya membawa pulang trofi berprestij itu, sekali gus menamatkan kemarau 11 tahun selepas kali terakhir memenanginya pada 2011.

Bagaimanapun, jumlah imbuhan untuk setiap pemain masih dirahsiakan bagi memastikan pemain memberi fokus kepada perlawanan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil itu nanti.

"Saya percaya semangat pemain ketika ini berada pada tahap paling tinggi untuk beraksi di padang pada Sabtu ini dan untuk semangat itu, akan ada insentif yang disediakan bagi setiap pemain sekiranya mereka berjaya membawa pulang trofi untuk rakyat Terengganu.

"Perbaiki kelemahan yang ada ketika pusingan separuh akhir menentang Selangor FC dahulu, insya-Allah tidak ada sebab kita tidak boleh menang ke atas JDT," katanya ketika ditemui pada Majlis Pelepasan Pasukan TFC ke Perlawanan Akhir Piala FA di Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM) di sini pada Khamis.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu Datuk Tengku Farouk Husin Tengku Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri Wan Sukairi Wan Abdullah.

Selain itu, Ahmad Samsuri yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) turut menasihatkan penyokong yang hadir di stadium supaya sentiasa menjaga tingkah laku bagi menjaga imej dan nama baik negeri.

Beliau berkata apa jua keputusan perlawanan perlu diterima dengan hati terbuka dengan tidak melakukan provokasi yang boleh menimbulkan ketidakharmonian serta kekacauan terhadap orang ramai.

"Apa juga keputusan sama ada kita tewas atau menang, ingat dunia. Jangan tak ingat dunia. Jaga tingkah laku dan tatatertib demi nama baik negeri," katanya yang meramalkan Terengganu menang 2-1 ke atas JDT. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!