Mandi laut 'terapi' rawat penyakit kulit kuda
KUALA TERENGGGANU - Mandi laut mampu merawat kuda yang diserang penyakit kulit dan membantu meningkatkan stamina haiwan itu.
Pemilik kuda, Mohammad Solehhim Aziz, 24, berkata, selain menyegarkan tubuh, amalan mandi laut dapat menyembuhkan sekiranya terdapat luka pada badan haiwan itu.
"Kalau kuda ada luka, elok mandi air laut. Selepas berendam dan mandi, tak perlu bilas dengan air biasa. Biarkan air tu kering di badannya," katanya.
Selain itu, katanya, mandi laut juga mampu meningkatkan stamina dan keyakinan haiwan peliharaan itu terutama yang digunakan dalam permainan kuda lasak (endurance).
Katanya antara kuda miliknya yang sering dibawa ke laut untuk mandi dan berenang ialah Miea, Gienna, Madona dan Kiki.
"Mandi laut ni kita tak buat setiap hari. Dalam sebulan sekali kita bawa ke laut bergantung cuaca dan keadaan ombak. Mandi laut dapat melatih tenaga kuda sebab bila ia masuk dalam air, ketumpatan air dapat melatih kaki supaya lebih kuat untuk berlari.
"Miea kuda yang saya biasa guna untuk sukan lasak, saya biasakan ia mandi dan berenang di kawasan berkedalaman sehingga ke paras leher," katanya yang telah memelihara kuda sejak di bangku sekolah rendah.
Mohammad Solehhim berkata, ada antara kudanya yang biasa berenang pada kedalaman paras leher dan ada yang hanya mandi di kawasan cetek.
"Kuda-kuda ni tak sama. Macam manusia, ada yang biasa berenang, ada yang agak takut dan tidak yakin. Apa yang kita bimbang, kuda mengalami kekejangan otot. Sebab itulah, kali pertama kita bawa ia mandi laut, kuda tak akan terus dibawa ke kawasan dalam.
"Kita akan ajar secara berperingkat bergantung pada keadaan kuda, kalau ia boleh pergi jauh, kita bawa jauh sikit dari pesisir pantai hingga sampai satu tahap, kuda tu boleh berenang sendiri," katanya.
Mohammad Solehhim berkata, dia dibantu dua pekerja sambilan yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Budiman, Hazman Othman, 17 dan Mohd Amirul Mohd Nazri, 15.
Katanya, mereka akan memastikan tujuh ekor kuda peliharaannya dibawa ke pantai untuk 'menikmati' mandi laut dan berenang bersama sekurang-kurangnya sebulan sekali.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!