Guna 'zombi' tarik penduduk naik LRT di Jakarta

Permainan dan pertunjukkan zombi di stesen LRT Jakarta akan berakhir pada Ahad ini. - Foto Antara
Permainan dan pertunjukkan zombi di stesen LRT Jakarta akan berakhir pada Ahad ini. - Foto Antara
A
A
A

JAKARTA - Pertunjukan dan permainan yang menggunakan watak-watak zombi di stesen tren transit aliran ringan (LRT) di Jakarta bagi menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam akan berakhir pada Ahad ini selepas ia berlangsung pada 5 Ogos lalu.

Pengendali LRT itu telah mengubah tren dan stesen menjadi set zombi mengganas dengan penumpang-penumpang sebenar boleh membeli tiket untuk menyertai permainan tersebut.

Tarikan berbayar itu yang dilancarkan oleh piha LRT Jakarta dan penganjur acara, Pandora Box bertujuan untuk mempromosikan sistem yang agak baharu itu di ibu kota tersebut dan secara umumnya menggalakkan golongan muda menaiki pengangkutan awam.

Pelakon watak zombi itu berpakaian lusuh dengan satu watak yang sangat menakutkan tersebut mempunyai mata yang berwarna putih.

Zombi itu mengheret kaki mereka ke arah penumpang sebelum berlari melalui terowong stesen gelap ke tren.

Di dalam tren, seorang pelakon yang memegang watak penyampai televisyen melaporkan berita tentang wabak virus 'Pandora' telah merebak di sekitar bandar sehingga menjadikan manusia yang mati kembali berjalan.

Askar-askar bersenjatakan senapang palsu melawan zombi dan cuba mengiringi penumpang-penumpang ke tempat yang selamat.

Namun, pelakon-pelakon yang memainkan watak zombi bersembunyi tetapi bersedia untuk muncul dan mengganas.

Artikel Berkaitan:

"Zombi itu sebenarnya tidak mengejar kami tetapi kami masih panik," kata Genesis Christi iaitu seorang peminat zombi berusia 17 tahun.

Digelarkan 'Tren Menuju Malapetaka Dahsyat,' acara itu diilhamkan daripada filem seram Korea Selatan 'Train To Busan' pada tahun 2016.

"Kami ingin memberitahu orang muda bahawa menaiki pengangkutan awam juga boleh menjadi sesuatu yang menarik," kata Billy Junio iaitu Ketua Pegawai Eksekutif Pandora Box kepada AFP.

Jakarta yang mempunyai lebih daripada 30 juta orang tercemar teruk kerana kesesakan lalu lintas.

Sistem LRT mula beroperasi secara komersial pada Disember 2019.

Permainan itu menyebabkan pengunjung memerlukan mereka membayar sebanyak 60,000 rupiah (RM18.11) hingga 70,000 rupiah (RM21.12). - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!