Kerajaan bantu industri penerbangan tangani cabaran

Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
A
A
A
SUBANG - Kerajaan menyedari cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri penerbangan tempatan, sekali gus mencari kaedah untuk membantu industri tersebut menanganinya, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Beliau berkata, kerajaan turut memberi perhatian terhadap cabaran yang dialami, terutamanya dari segi mengembangkan dan mengekalkan perniagaan serta birokrasi berpanjangan yang mungkin menghalang pelabur asing dan domestik untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Yakinlah bahawa kami sedang berusaha untuk menyelesaikan isu-isu ini,” katanya ketika berucap pada Pameran Penerbangan Selangor (SAS) 2022 di sini pada Khamis.



Tengku Zafrul berkata, industri aeroangkasa dan penerbangan disifatkan sebagai antara pemacu utama untuk mendorong pertumbuhan ekonomi Malaysia di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

"Sebelum pembukaan semula sektor ekonomi, amat penting bagi Kerajaan Persekutuan merangsang pertumbuhan ekonomi melalui pelaburan dalam sektor strategik termasuk industri aeroangkasa dan penerbangan,” katanya.

Pada masa depan, Tengku Zafrul berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia dijangka mendapat sokongan daripada aktiviti sosial dan ekonomi yang teguh, serta permintaan domestik dan asing yang kukuh berikutan peralihan negara ke fasa endemik Covid-19 dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

"Momentum pertumbuhan ekonomi diunjurkan kekal kukuh pada suku ketiga 2022, dipacu oleh kemajuan yang memberangsangkan dalam pelancongan dan perdagangan luaran," katanya.

Beliau turut yakin bahawa inisiatif yang dilaksanakan seperti penganjuran SAS akan berperanan sebagai jambatan untuk menghubungkan ASEAN dan peserta industri global serta menarik minat mereka untuk menjalankan perniagaan di Malaysia.

"Ini khususnya dalam bidang penerbangan perniagaan, penerbangan am, helikopter, dron dan penerbangan sukan,” katanya.

Menurut Tengku Zafrul, kerajaan negeri Selangor (melalui Invest Selangor) telah bekerjasama rapat dengan peserta industri aeroangkasa untuk mengenal pasti bidang kerjasama serta peluang untuk memastikan pertumbuhan yang mampan dalam industri aeroangkasa dan penerbangan negara.
Artikel Berkaitan:


SAS yang dianjurkan selama tiga hari disempurnakan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

Hadir sama Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!