Pas nafi keluar risalah ‘undi Pas masuk syurga’
SHAH ALAM- Pas tidak pernah mengeluarkan risalah dan sepanduk mempergunakan agama termasuk ‘undi Pas masuk syurga’ bagi meraih sokongan rakyat.
Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebaliknya menyifatkan gambar dan maklumat palsu yang tersebar dibuat oleh pihak yang mempunyai kepentingan tertentu bagi menentang parti berkenaan.
“Pas tidak pernah mengeluarkan risalah-risalah dan sepanduk seperti ini.
"Nak berlawan, lawanlah secara 'gentleman', hujah dan fakta. Bukan guna maklumat saraf dan palsu seperti ini,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Kenyataan itu dibuat susulan ciapan yang dibuat Naib Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming yang menyifatkan parti itu menggunakan agama.
“Pas mempergunakan agama hanya untuk kepentingan peribadi mereka. Jangan sesekali tertipu oleh mereka,” ciapnya.
Kor Ming juga turut mengepilkan gambar seorang lelaki yang memegang risalah ‘Undilah Pas’. ‘Setiap undi menjanjikan syurga’.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!