Imam didakwa 12 tuduhan kesalahan seksual
MELAKA - Seorang bapa kepada empat anak didakwa di Mahkamah Seksyen di sini pada Khamis atas 12 pertuduhan seksual terhadap seorang kanak-kanak yang merupakan adik iparnya, lima tahun lalu.
Tertuduh yang merupakan penjawat awam dan memegang jawatan sebagai imam bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail dan Nariman Badruddin.
Perbuatan yang dilakukan didakwa di bawah Seksyen 377C dan Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dibaca bersama Seksyen 16(1) dan Seksyen 27(1) akta yang sama.
Berdasarkan pertuduhan pertama hingga ketiga, lelaki berusia 40 tahun terbabit didakwa merogol, melakukan amang seksual fizikal dan persetubuhan bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa yang berusia sembilan tahun di sebuah rumah di Taman Seri Kerayong, Jasin.
Perbuatan itu didakwa dilakukan pada jam 3 pagi antara awal September hingga pertengahan September 2017.
Seksyen 376 (2) membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan Seksyen 377C Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara lima tahun hingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan
Dalam pertuduhan keempat hingga ketujuh, tertuduh juga didakwa merogol, melakukan amang seksual dan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan tabii terhadap mangsa sama antara jam 4.30 petang awal Mac 2019 hingga jam 9.30 pagi awal September 2019 di alamat sama.
Tertuduh juga didakwa merogol dan melakukan amang seksual terhadap mangsa sama bagi pertuduhan ke lapan hingga ke-12 di sebuah rumah di Jalan Simpang Badak Jasin antara jam 2.30 pagi 12 Julai 2021 hingga 13 Jun lalu.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim dan Anis Najwa Nazari dalam prosiding berasingan memohon mahkamah tidak mengenakan jaminan terhadap tertuduh namun mencadangkan jaminan RM120,000 bagi kesemua 12 pertuduhan selain syarat tambahan tertuduh tidak boleh menganggu mangsa dan keluarganya sepanjang kes berlangsung.
Tertuduh diwakili peguam, Andrew Lourdes merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya perlu menanggung empat anak berusia antara tiga hingga 16 tahun yang masih bersekolah selain hanya berpendapatan RM1,500 sebulan sebagai penjawat awam manakala isteri seorang suri rumah.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM79,000 bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 6 Oktober depan untuk tarikh sebutan semula kes dan serahan dokumen.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!