Calon UMNO di Pagoh, serah mandat kepada MKT
JOHOR BAHRU - Persoalan berhubung calon yang bakal diletakkan di Pagoh pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak, akan ditentukan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed berkata, kerusi Parlimen itu akan menjadi tumpuan pada PRU15 dan UMNO perlu mempunyai formula yang kukuh.
Katanya, pelbagai perkara perlu dilihat dan diatur termasuk dalam soal calon, gerak kerja dan strategik bagi memastikan kerusi Pagoh dapat dirampas kembali UMNO.
"Parlimen Pagoh ini cukup istimewa kerana kini disandang Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin. UMNO perlu ada formula untuk menang. Formula ini sudah tentu merangkumi pelbagai aspek termasuk calon.
"Malah ketika kursus jentera PRU15 UMNO Bahagian Pagoh pada pertengahan Ogos lalu, saya telah minta mandat daripada akar umbi dan pimpinan bahagian untuk serah soal mandat calon kepada MKT UMNO," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Dalam pada itu, Ismail berkata, pandangan daripada akar umbi juga perlu diambil kira dalam penentuan calon kerusi Parlimen Pagoh.
"Saya tidak halang sesiapa pun, apa pun saya perlu serahkan kepada akar umbi dan bawa perkara ini kepada MKT untuk diteliti dan diputuskan," katanya.
Datuk Seri Razali Ibrahim yang juga bekas Ahli Parlimen Muar dikatakan akan berpindah kawasan dan bertanding di Parlimen Pagoh sekali gus menyaksikan pertembungan dengan Muhyiddin pada PRU15.
Kerusi Parlimen Pagoh kini disandang Muhyiddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menang pada PRU14 dengan majoriti 6,927 undi menewaskan calon Pas dan UMNO.
Sementara itu, Razali menang di kerusi Parlimen Muar tiga penggal berturut-turut pada PRU11, PRU12 dan PRU13 namun tewas pada PRU14, dikalahkan oleh Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang menang dengan majoriti 6,953 atas tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Parlimen Pagoh mempunyai dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Bukit Pasir dan Bukit Kepong.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor Mac lalu, DUN Bukit Pasir dimenangi calon dari BN iaitu Ir Mohamad Fazli Mohamad Salleh dan Bukit Kepong dimenangi Datuk Dr Sharudin Jamal (Bersatu) yang juga Pengerusi PN Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!